JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menyita dua kereta mewah, masing-masing Bentley dan Porsche Taycan Turbo S, selepas dikesan dipandu dengan cukai jalan tamat tempoh dalam dua operasi berasingan, semalam.
Kedua-dua kenderaan itu ditahan menerusi Op Luxury, operasi khas yang menyasarkan kenderaan mewah yang gagal mematuhi peraturan pengangkutan jalan.
Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, Bentley berkenaan ditahan di Kilometer 11 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada jam 10.19 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati cukai jalan kenderaan itu tamat tempoh pada 21 Februari lalu, manakala perlindungan insuransnya luput pada 21 Ogos.
“Cukai jalan tahunan Bentley berkenaan berjumlah RM15,621.
“Kereta itu dipandu seorang wanita berusia 50 tahun yang juga isteri kepada pemilik berdaftar kenderaan berkenaan.
“Beliau mendakwa tidak mengetahui cukai jalan kenderaan itu sudah tamat tempoh kerana kereta berkenaan milik suaminya,” katanya, lapor Harian Metro.
Bagaimanapun, alasan itu tidak menghalang anggota penguat kuasa daripada menyita kenderaan berkenaan atas kesalahan yang dikesan.
Dalam kejadian berasingan pada hari sama, anggota JPJ turut menahan Porsche Taycan Turbo S di Lebuhraya Shah Alam (LKSA).
Pemeriksaan mendapati cukai jalan Porsche itu tamat tempoh sejak 12 Ogos lalu.
Kenderaan yang dikenakan cukai jalan tahunan RM2,765 itu dipandu pemilik berdaftarnya ketika ditahan dan disita untuk tindakan lanjut.
Ahmad Kamarunzaman berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu yang gagal mematuhi peraturan pengangkutan jalan, tanpa mengira jenis atau nilai kenderaan.
“Memiliki kenderaan mahal tidak mengecualikan sesiapa daripada mematuhi undang-undang.
“Pengguna jalan raya perlu memastikan cukai jalan dan perlindungan insurans mereka sentiasa sah sebelum membawa kenderaan ke jalan raya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemilik kenderaan mewah supaya tidak menganggap kenderaan mereka terlepas daripada pemeriksaan hanya kerana harganya mahal atau jarang digunakan.
“Kami memantau kenderaan ini dan tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mereka yang didapati melanggar undang-undang.
“Tiada sesiapa yang terkecuali daripada undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, operasi penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan, selain menjaga keselamatan pengguna lain.





