33 kenderaan perdagangan dikenakan saman kerana guna lorong kanan

SEBANYAK 33 kenderaan perdagangan dikenakan tindakan kerana menggunakan lorong paling kanan secara berterusan dalam operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor yang dijalankan semalam hingga hari ini.

Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, sebanyak 85 kenderaan perdagangan diperiksa menerusi operasi itu dengan 33 kesalahan direkodkan dan 33 notis saman dikeluarkan.

Katanya, kesalahan menggunakan lorong paling kanan secara berterusan membabitkan kenderaan barangan atau kenderaan perkhidmatan awam diambil tindakan mengikut Kaedah 4A, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

“Menerusi operasi itu juga, JPJ Selangor menyita dua kenderaan. Biasanya alasan yang diberikan adalah mereka mahu bergerak dengan cepat atau laju, tetapi kenderaan berat bukanlah bergerak laju.

“Jika berada di lorong kanan, ia akan menyebabkan trafik semakin perlahan dan kesesakan kerana pergerakan kenderaan berat adalah lebih perlahan.

“Sepatutnya kenderaan berat berada di lorong paling kiri dan kalau mahu memotong, gunakan lorong tengah,” katanya ketika sidang media Op Kenderaan Perdagangan di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Rawang arah utara, hari ini.

Beliau berkata, penggunaan lorong paling kanan secara berterusan oleh kenderaan perdagangan, khususnya kenderaan berat, boleh menghalang pergerakan kenderaan lain untuk memotong dengan selamat.

Katanya, keadaan itu juga berpotensi menyebabkan brek mengejut, pertukaran lorong secara berisiko serta gangguan kepada kelancaran aliran trafik yang akhirnya boleh meningkatkan risiko kemalangan.

Dalam pada itu, JPJ Selangor turut menggunakan kenderaan tanpa logo dalam operasi berkenaan bagi mengesan kenderaan perdagangan yang melakukan kesalahan tersebut.

“Memang dalam operasi hari ini, kita menjalankan penguatkuasaan secara penyamaran dengan menggunakan kenderaan tanpa logo untuk melihat kenderaan perdagangan yang menggunakan lorong kanan secara berterusan.

“Operasi sebegini juga akan dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

Hasil tinjauan mendapati rata-rata pemandu kenderaan perdagangan memberi alasan mahu menggunakan laluan berkenaan untuk memotong, bagaimanapun mereka tidak mengubah haluan ke lorong asal dan mengekalkan kedudukan di lorong tersebut.

“JPJ Selangor tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang dan peraturan jalan raya, khususnya kesalahan yang boleh mengancam keselamatan pengguna serta menjejaskan kelancaran lalu lintas,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here