SEBANYAK 18,726 kenderaan diambil tindakan menerusi Ops Kenderaan Perdagangan di seluruh Selangor sehingga 31 Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Menhat berkata, sebanyak 427,938 kenderaan diperiksa dalam tempoh itu, dengan 53,550 kesalahan direkodkan.
Katanya, kesalahan teknikal mencatatkan angka tertinggi iaitu sebanyak 15,531 kes, diikuti kesalahan lesen vokasional (GDL dan PSV) dengan 8,574 kes serta kesalahan lesen kenderaan motor (LKM) sebanyak 7,734 kes.
“Kesalahan lesen memandu (CDL) pula merekodkan 7,413 kes, manakala kesalahan lain-lain sebanyak 6,987 kes.
“Selain itu, sebanyak 3,541 kesalahan membabitkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) tamat tempoh, 2,716 kes tiada perlindungan insurans dan 1,040 kesalahan muatan bahaya.” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Ops Kenderaan Perdagangan, di Hentian Rehat dan Rawat Rawang arah utara, hari ini.
“Sepanjang tempoh itu, sebanyak 80,653 notis dikeluarkan, termasuk 50,403 notis saman (P)22, 14,871 notis arah periksa 61(1) dan 12,541 notis larangan penggunaan kenderaan PG(1), dengan sebanyak 143 kenderaan turut disita,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya akan terus memberi fokus terhadap tahap pematuhan undang-undang dan peraturan jalan raya dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan, khususnya kesalahan memandu secara berterusan di lorong paling kanan.
“Kita memandang serius kesalahan tersebut kerana tindakan kenderaan perdagangan, khususnya kenderaan berat yang menggunakan lorong paling kanan secara berterusan boleh menghalang pergerakan kenderaan lain untuk memotong dengan selamat.
“Keadaan ini juga berpotensi menyebabkan brek mengejut, pertukaran lorong secara berisiko serta gangguan kepada kelancaran aliran trafik yang akhirnya boleh meningkatkan risiko kemalangan.” katanya.
Tambahnya, JPJ Selangor tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang dan peraturan jalan raya, khususnya kesalahan yang boleh mengancam keselamatan pengguna serta menjejaskan kelancaran lalu lintas.





