Lelaki bawa sembilan migran Myanmar terbabas ketika dikejar polis

CUBAAN seorang lelaki melarikan diri daripada polis dengan memecut kenderaan yang membawa sembilan migran warga Myanmar berakhir apabila kenderaan dipandunya terbabas di Kampung Alor Pasir, Tanah Merah, kelmarin.

Kenderaan jenis Hyundai Santa Fe itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang menjalankan rondaan di sekitar Kampung Repek, Pasir Mas, kira-kira jam 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, sebaik menyedari kehadiran polis, pemandu berusia 34 tahun itu bertindak memecut bagi mengelak ditahan sebelum terbabas berhampiran sebuah rumah di tepi jalan di Kampung Alor Pasir.

“Apabila menyedari kehadiran pihak polis, pemandu kenderaan bertindak memecut bagi melarikan diri sehingga ke Kampung Alor Pasir.

“Walau bagaimanapun, kenderaan terbabas berhampiran sebuah rumah di tepi jalan di kampung berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu membawa sembilan migran warga Myanmar, terdiri daripada empat wanita dan lima lelaki berusia antara 18 hingga 47 tahun.

Semua migran berkenaan berada di bahagian penumpang dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah ketika pemeriksaan dilakukan.

Mohd Haki berkata, semakan mendapati pemandu terbabit mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan kes narkotik serta tiga rekod lampau berkaitan kes jenayah.

“Polis turut merampas Hyundai Santa Fe, sebuah telefon bimbit dan satu unit kunci kereta.

“Semua tangkapan dan barang rampasan dibawa untuk tindakan serta siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here