DATUK Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa menyiasat seorang Ahli Parlimen yang didakwa mengeluarkan kenyataan menggugat sensitiviti keagamaan ketika mengunjungi Terengganu, baru-baru ini.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen terbabit yang dilaporkan mempersoalkan penutupan premis perniagaan bagi memberi laluan kepada solat Jumaat.
“Kenyataan Ahli Parlimen terbabit, saya tidak bersetuju. Itu jelas.
“Walaupun kini sudah minta maaf, itu saya serah kepada siasatan… apakah kenyataan dibuat selepas mohon maaf, itu keputusan PDRM (Polis Diraja Malaysia),” katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai tindakan terhadap Ahli Parlimen berkenaan.
Tanpa menamakan individu itu, Anwar menegaskan tiada pihak terkecuali daripada tindakan penguatkuasaan sekiranya membangkitkan isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R).
Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan kerajaan mengamalkan pendekatan dwistandard dalam tindakan berkaitan isu 3R, khususnya apabila kes membabitkan penyokong pentadbiran.
Beliau meminta semua pihak merujuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak pendakwaan bagi mendapatkan perincian lanjut mengenai tindakan penguatkuasaan berkenaan.
“Nak kata (tindakan penguatkuasaan) ‘slow’ (lambat), tidak betul… kerana tindakan segera cuma dia (Ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti agama) segera minta maaf.
“Soal sajak Pasir Gudang (PH – Hassan Abdul Karim). Kadang-kadang Pasir Gudang tentu… kalau tanya saya sebagai sahabat, saya tidak cenderung, tetapi sajak itu ditafsir sebagai menghina institusi diraja.
“Jadi siasatan harus diteruskan. Isu menyentuh institusi diraja selalunya disegerakan. Ini saya harus akui,” katanya.
Mengenai kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, Anwar berkata, beliau tidak mempertahankan pendirian individu itu dan menggesa pihak berkuasa meneruskan siasatan.
“Kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, saya tidak pertahankan. Ya, soal siasatan, itu diteruskan, ada yang perlahan, ada yang lambat. Kita boleh rujuk KDN dan pihak pendakwaan.
“Kalau mahu kata antara dua darjat, saya tidak setuju. Siapa yang umpamanya menghalang tindakan? Saya menyemak semua kes, termasuk pemimpin pembangkang, kepemimpinan parti pembangkang, banyak,” katanya.
Anwar berkata, siasatan dijalankan bagi memberi peluang kepada individu terbabit menjelaskan kenyataan mereka, namun tidak semua kes akan berakhir dengan pendakwaan.
“Jadi dalam kes ini, jangan kita halang siasatan, tetapi tidak semua berakhir dengan pendakwaan. Cuma kadang-kadang sekadar polis siasat pun jadi seolah-olah penderaan besar.
“Padahal ada laporan dan polis siasat. Takkan pula ada orang yang ‘dewa’ dan tidak boleh disiasat. Ini dalam sistem kita, tiada sesiapa terkecuali untuk ditanya dan disiasat kalau ada laporan polis,” katanya.
Menjawab soalan asal, Anwar berkata, ketetapan penguatkuasaan berkaitan 3R dibuat bagi mengawal keharmonian, menghormati prinsip Raja Berperlembagaan serta memelihara hubungan antara kaum dan agama.
Katanya, perkara itu turut selari dengan keputusan Majlis Raja-Raja yang sering membangkitkan isu berkenaan dalam mesyuaratnya.
Beliau menafikan tindakan berkaitan 3R bermotifkan politik atau dipolitikkan, sambil memaklumkan pemantauan dilakukan PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selain dirujuk kepada badan penasihat termasuk Majlis Penasihat Perpaduan Negara.
“Perkara ini memerlukan kerjasama semua. Jika ada kes tertentu yang ditafsirkan salah guna kuasa atau (bermotifkan) politik, ini boleh dirujuk, tetapi jangan tolak 3R,” katanya.





