Isu Ismail Lasim: Konsistensi UMNO pertahan institusi diraja dipersoal

KEMELUT politik Negeri Sembilan, khususnya membabitkan kedudukan Menteri Besarnya, Datuk Ismail Lasim berpotensi mencabar kredibiliti UMNO sebagai parti yang selama ini meletakkan institusi diraja sebagai antara prinsip perjuangannya.

Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Syaza Farhana Mohamad Shukri berkata, keadaan itu memperlihatkan percanggahan pendirian dalam UMNO apabila parti berkenaan bertegas supaya keputusan institusi diraja tidak dipertikaikan dalam isu tertentu, namun perkembangan di Negeri Sembilan menunjukkan keadaan berbeza.

 


Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Syaza Farhana Mohamad Shukri

Menurutnya, situasi itu dapat dilihat menerusi perbandingan pendirian UMNO dalam isu membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Yang di-Pertuan Agong dengan kemelut politik di Negeri Sembilan yang menyentuh kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

“Bagi saya, isu Ismail Lasim ini memang akan mencabar kedudukan dan kredibiliti UMNO sebagai pembela institusi diraja.

“Jika dalam isu Datuk Seri Najib dan Yang di-Pertuan Agong, UMNO mengarahkan supaya tiada pertikaian dibuat, pada masa sama di Negeri Sembilan terdapat kem-kem dalam UMNO yang mencabar kedudukan Yang di-Pertuan Besar sehingga berlaku pertikaian berulang mengenai isu Menteri Besar dan Exco,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.

Dr Syaza Farhana berkata, perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai konsistensi UMNO dalam mempertahankan institusi diraja, terutama apabila pendirian parti yang mengiktiraf keputusan institusi berkenaan sebagai prerogatif diraja dilihat tidak diterjemahkan secara seragam.

Katanya, jika prinsip itu benar-benar menjadi pegangan, sebarang urusan berkaitan keputusan istana sepatutnya tidak mencetuskan pertikaian politik berpanjangan.

“Sepatutnya, jika mengikut pendirian UMNO bahawa keputusan institusi diraja adalah prerogatif baginda, tidak seharusnya berlaku perbalahan dengan istana.

“Namun, apabila wujud dua pendirian berbeza, akhirnya politik turut dibawa masuk ke dalam urusan istana sehingga dilihat seperti mencabar institusi berkenaan dan kedudukan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu menjadikan kemelut Negeri Sembilan bukan sekadar pertikaian mengenai kedudukan Menteri Besar dan barisan Exco, malah turut membabitkan persoalan tentang prinsip serta pendirian UMNO terhadap institusi diraja.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here