KUMPULAN pecah rumah yang menggunakan bateri diubah suai untuk membuka pagar automatik kediaman berjaya ditumpaskan selepas dua lelaki tempatan ditahan menerusi Op Pintu Kit, 16 November lalu.
Kegiatan kumpulan itu dipercayai mengakibatkan kerugian RM293,500 menerusi jenayah pecah rumah yang dilakukan merentasi negeri.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kumpulan berkenaan menyasarkan rumah teres tanpa pengawal keselamatan dan melakukan jenayah pada waktu siang ketika penghuni tiada di rumah.
“Suspek masuk melalui pintu hadapan dengan mengumpil pagar, dan bagi rumah yang dilengkapi pagar automatik, suspek disyaki menggunakan bateri yang diubah suai untuk membuka pagar tersebut.
“Risikan polis turut mengenal pasti seorang ahli kumpulan yang masih bebas dan usaha untuk mengesan serta menangkap suspek sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kumar, dua suspek berusia 40 dan 44 tahun itu ditahan Bahagian Risikan/Operasi (D4) JSJ Bukit Aman ketika menaiki sebuah kenderaan di Taman City, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari.
Katanya, tangkapan dilakukan kurang sejam selepas polis menerima laporan kejadian pecah masuk sebuah rumah di Taman Rainbow, Jalan Ipoh, di sini.
Polis turut merampas sebuah Toyota Camry hitam yang menggunakan nombor pendaftaran palsu, pelbagai telefon bimbit, tablet, jam tangan, komputer riba dan wang tunai RM1,000.
Selain itu, tiga set nombor pendaftaran kenderaan, pakaian, sarung tangan, pelitup muka serta pelbagai peralatan pecah rumah termasuk bateri yang diubah suai turut dirampas.
Mengulas lanjut, Kumar berkata, semakan mendapati seorang suspek mempunyai 67 rekod lampau, termasuk 62 rekod jenayah dan lima rekod dadah, manakala 41 daripada rekod jenayah itu membabitkan kesalahan pecah rumah.
Seorang lagi suspek mempunyai dua rekod jenayah dan tiga rekod dadah.
“Hasil ujian saringan air kencing turut mendapati suspek pertama positif dadah jenis amfetamin dan metamfetamin (AMP/METH).
“Menerusi penahanan kedua-dua suspek, polis berjaya menyelesaikan 15 kes pecah rumah membabitkan tujuh kes di Selangor, Perak (lima), Pahang (dua) dan Kuala Lumpur (satu).
“Kedua-dua suspek kini direman sehingga 27 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya memastikan kediaman sentiasa dikunci menggunakan kunci tambahan, memasang kamera litar tertutup (CCTV) serta menyimpan barangan berharga di tempat selamat.
Orang ramai yang melihat kenderaan atau individu mencurigakan di kawasan perumahan turut digesa segera menyalurkan maklumat kepada polis.





