DUA pelajar sekolah menengah antara individu ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah dalam operasi khas membanteras lumba haram di Jalan Gunung Keriang, Alor Setar, semalam.
Seorang daripada mereka ialah remaja lelaki berusia 13 tahun yang ditahan kerana menunggang motosikal tanpa lesen memandu serta berada di kawasan aksi lumba haram berkenaan.
Remaja itu turut menangis dan memohon maaf kepada bapanya yang hadir ke pejabat JPJ Kedah semalam untuk membawanya pulang.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, dalam operasi sama, pihaknya turut menahan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang sedang berlumba di kawasan itu bersama seorang rakannya.
Beliau berkata, rakan remaja berkenaan berjaya melarikan diri, namun remaja berusia 15 tahun itu ditahan bersama sebuah motosikal Y15 yang dipercayai milik ibu rakannya.
“Remaja itu masih bersekolah dan ditahan untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan keluarga.
“Kita akan dakwa remaja terbabit di mahkamah dalam tempoh 14 hari dan ia kes pertama JPJ Kedah ketika melaksanakan operasi semalam.
“Operasi bermula jam 6.15 petang hingga 10 malam tadi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ Kedah, Jalan Suka Menanti, hari ini, lapor Buletin TV3.
Stien berkata, kes remaja lelaki berusia 13 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, manakala remaja yang ditahan ketika berlumba disiasat mengikut Seksyen 42A(1) akta sama.
Beliau berkata, sepanjang operasi itu, sebanyak 162 motosikal dan kenderaan diperiksa, dengan 110 notis serta saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Antara aksi berbahaya yang dikenal pasti termasuklah mengangkat tayar hadapan atau wheelie, aksi Superman serta menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di jalan raya,” katanya.





