KPM wujudkan kelas khusus untuk murid autistik mulai tahun depan

MURID autistik bakal mengikuti pembelajaran dalam kelas khusus mulai tahun depan menerusi inisiatif baharu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memenuhi keperluan pendidikan mereka secara lebih bersasar.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, pendekatan itu mengambil kira keperluan pembelajaran kanak-kanak autistik yang berbeza berbanding murid berkeperluan pendidikan khas lain, selain peningkatan jumlah mereka yang dikenal pasti setiap tahun.

Katanya, ketika ini murid autistik, sindrom Down dan kelewatan perkembangan ditempatkan bersama dalam kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Justeru, kata beliau, pengasingan mengikut keperluan khusus dilihat penting bagi memastikan murid autistik mendapat perhatian dan pendekatan pembelajaran yang lebih bersesuaian.

“Pada masa ini, kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) mencampurkan murid yang menghidap autisme, murid sindrom Down dan murid lewat perkembangan dalam satu kumpulan. Inisiatif terkini ini adalah untuk mewujudkan kelas khas bagi murid-murid autistik.

“Kita lihat autisme ini berdasarkan pandangan pakar dalam bidang pendidikan khas ini, dan kita perlu ada satu inisiatif yang khusus untuk mereka (kanak-kanak autistik). Kita lihat dari segi data jumlahnya makin meningkat dan kita perlu memberikan perhatian yang lebih fokus kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Sesi Taklimat Media Bersama KPM di Sepang hari ini.

Mengulas kapasiti kelas pendidikan khas, Mohd Azam berkata, jumlah ideal bagi sebuah kelas PPKI ialah tujuh murid dengan bimbingan seorang guru pendidikan khas serta seorang Pembantu Pengurusan Murid (PPM).

Bagaimanapun, terdapat kelas yang kini menempatkan sehingga 10 murid, sekali gus memerlukan penambahan kemudahan bagi menampung keperluan semasa.

Sehubungan itu, katanya, KPM sedang merancang pembinaan bilik darjah tambahan secara berperingkat, termasuk kemudahan khusus bagi pendidikan khas.

Beliau berkata, usaha berkenaan turut selari dengan inisiatif pendidikan khas yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 bagi memastikan murid berkeperluan pendidikan khas mendapat akses kepada kemudahan pembelajaran yang sewajarnya.

“Inisiatif untuk pendidikan khas ini memang di bawah perancangan KPM, lebih-lebih lagi apabila sudah diumumkan dalam Belanjawan 2027 berkaitan dengan inisiatif untuk pendidikan khas murid yang menghidap autisme.

“Pada masa yang sama, memang kita ada perancangan untuk meningkatkan lagi jumlah bilik darjah untuk pendidikan khas supaya anak-anak pendidikan khas ini mendapat peluang pendidikan yang sempurna,” katanya.

Bagi kemasukan Tahun Satu sesi persekolahan 2027, Mohd Azam berkata, KPM menerima 9,997 permohonan membabitkan kanak-kanak berusia tujuh tahun dalam kalangan murid pendidikan khas, manakala 656 permohonan lagi melibatkan kanak-kanak berusia enam tahun.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Sekolah Sukan Pendidikan Khas pertama negara di Bandar Enstek, Negeri Sembilan dijangka memulakan pengambilan murid Tingkatan Satu tahun depan.

Katanya, projek pembinaan sekolah itu kini hampir siap dengan hanya dua hingga tiga peratus baki kerja perlu diselesaikan, manakala permohonan kemasukan sudah dibuka untuk penempatan pada suku pertama 2027.

Beliau berkata, penubuhan sekolah berkenaan membuka peluang kepada murid berkeperluan pendidikan khas mengembangkan potensi masing-masing menerusi pendidikan yang turut memberi penekanan kepada pembangunan fizikal dan jasmani.

“Sebenarnya ini adalah peluang untuk kita mengangkat martabat sistem pendidikan negara dengan mengangkat potensi anak-anak kita selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu melahirkan insan yang seimbang daripada aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here