KEMASUKAN kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu dijangka menjadi syarat wajib mulai 2029 selepas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan tempoh peralihan secara pilihan pada 2027 dan 2028.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, tempoh tiga tahun itu akan dimanfaatkan bagi memastikan semua keperluan pelaksanaan dasar berkenaan disediakan secara menyeluruh termasuk kurikulum, latihan guru, kemudahan prasarana dan bilik darjah.
Katanya, persiapan awal sudah dimulakan tahun ini bagi memastikan inisiatif berkenaan dapat dilaksanakan mengikut perancangan sehingga mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Apabila kita tetapkan wajib pada 2029, bermakna usaha ini akan dilaksanakan dari hari ini, 2026, sampailah 2029.
“Kita tidak mahu inisiatif yang sudah dirancang ini akhirnya terhenti sebelum dilaksanakan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pada sesi Taklimat KPM bersama Media di Sepang hari ini, lapor BH.
Mengulas kemampuan kementerian menyediakan kemudahan fizikal, Mohd Azam berkata, KPM mempunyai beberapa pendekatan bagi menampung pertambahan murid, termasuk penggunaan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang membolehkan bilik darjah dibina dalam tempoh kira-kira tiga bulan mengikut keperluan.
Selain pembinaan bilik darjah baharu, kementerian turut mempertimbangkan pengoperasian sekolah secara dua sesi serta penempatan murid ke sekolah yang mempunyai kapasiti enrolmen lebih rendah.
Menurutnya, persediaan turut melibatkan penyesuaian kurikulum bersesuaian dengan tahap perkembangan kanak-kanak berusia enam tahun, selain latihan khusus kepada guru supaya mereka dapat mengendalikan proses pembelajaran kumpulan murid berkenaan.
Beliau berkata, perubahan pendekatan itu mengambil kira perkembangan semasa dunia pendidikan dan keperluan memanfaatkan potensi kanak-kanak sejak usia lebih muda, terutama ketika negara berhadapan perubahan demografi serta kemajuan teknologi.
“Kita kini menuju kepada negara menua dan tidak boleh lewat dalam membuat persediaan menghadapi perubahan masa depan, termasuk perkembangan teknologi dan perubahan iklim.
“Anak-anak pada usia muda pun sudah mempunyai akses kepada pengetahuan dan maklumat yang luas. Jadi, potensi mereka perlu dimanfaatkan,” katanya.
Katanya, dasar berkenaan juga bertujuan memperluas akses dan memastikan kesaksamaan peluang pendidikan kepada semua kanak-kanak, tanpa bergantung kepada kaedah tertentu seperti program kelas lompat yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Azam berkata, pelaksanaan kemasukan wajib murid berusia enam tahun ke Tahun Satu memerlukan pindaan terhadap Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
Mengulas sambutan ibu bapa terhadap kemasukan secara pilihan pada peringkat awal, beliau berkata, maklum balas diterima masih bercampur-campur, namun permohonan menunjukkan peningkatan termasuk rayuan daripada ibu bapa yang melihat persediaan dilakukan kementerian.
Katanya, setiap rayuan akan dinilai berdasarkan kesediaan bilik darjah dan kapasiti penempatan murid di sekolah terbabit sebelum sebarang keputusan dibuat.
KPM juga sudah menyediakan unjuran awal bagi keperluan tambahan bilik darjah, buku teks dan guru sekiranya berlaku peningkatan permohonan pada 2028.
Berdasarkan statistik sehingga 30 September lalu, KPM menerima 73,498 permohonan bagi kemasukan murid daripada kohort usia enam tahun dan 418,151 permohonan daripada kohort usia tujuh tahun.
Jumlah keseluruhan sebanyak 491,649 permohonan itu adalah bagi pendaftaran Tahun Satu Kalendar Akademik 2027.




