POLIS akan mengambil keterangan kira-kira 25 lagi individu, khususnya kru produksi bagi melengkapkan siasatan dakwaan gangguan seksual membabitkan pelakon Puteri Balqis ketika menjalani penggambaran sebuah drama.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, setakat ini enam individu sudah dirakam keterangan termasuk pelakon wanita berusia 19 tahun itu dan pelakon lelaki yang dikaitkan dengan dakwaan berkenaan.

Menurutnya, individu lain yang telah memberikan keterangan ialah tunang pengadu yang juga pembantu peribadinya, seorang pengarah serta dua jurukamera.
“Keterangan kira-kira 25 lagi saksi membabitkan kru produksi akan dirakam secara berperingkat.
“Proses itu akan dilakukan mengikut kelapangan mereka memandangkan kru produksi berkenaan kini sedang terbabit dalam penggambaran produksi lain,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor NST.
Pada 21 November lalu, media melaporkan polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual yang dikatakan berlaku terhadap Puteri Balqis ketika menjalani penggambaran drama berkenaan.
Pelakon itu membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail pada 19 November lalu, dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Insiden berkenaan didakwa berlaku pada Ogos lalu selepas Puteri Balqis menerima tawaran membintangi drama terbabit bersama seorang pelakon lelaki.
Sebelum ini, menerusi hantaran di Instagram, Puteri Balqis atau lebih dikenali sebagai Aqish meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan pelakon lelaki berkenaan yang didakwa sengaja bergesel dengannya ketika melakonkan babak bersama.
Bagaimanapun, pelakon lelaki terbabit menafikan dakwaan berkenaan menerusi kenyataan di Instagram dan turut membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil.
Sementara itu, syarikat produksi Global Film Station Sdn Bhd memaklumkan pihaknya bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan kes berkenaan.




