Polis tahan guru tuisyen dakwaan cabul lima pelajar lelaki

POLIS menahan seorang guru tuisyen selepas disyaki melakukan amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap lima pelajar lelaki, di mana kejadian itu dipercayai berlaku di rumahnya sendiri yang dijadikan pusat tuisyen.

Kegiatan guru lelaki itu terbongkar selepas polis menerima beberapa laporan daripada keluarga mangsa yang membabitkan kanak-kanak dan remaja lelaki di ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima lima laporan berasingan yang dibuat di Balai Polis Bukit Jalil berhubung dakwaan perbuatan tersebut.

DATUK Fadil Marsus

Menurutnya, laporan pertama diterima pada 6 Oktober lalu, diikuti laporan kedua pada 10 Oktober, manakala tiga lagi laporan dibuat pada 11 Oktober.

Susulan laporan berkenaan, pihak polis menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti kejadian sebenar serta mengumpulkan maklumat daripada pihak yang berkaitan.

“Siasatan lanjut sudah dijalankan dan polis sudah mendapatkan keterangan daripada ahli keluarga dan mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut memaklumkan bahawa siasatan mendapat kerjasama baik daripada keluarga mangsa, pihak sekolah serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi membantu melengkapkan kertas siasatan.

Lebih mengejutkan, lokasi yang didakwa menjadi tempat berlakunya perbuatan itu merupakan rumah suspek sendiri yang turut digunakan untuk menjalankan kelas tuisyen.

Dalam perkembangan sama, Fadil mengesahkan suspek telah ditahan dan kini direman bagi membantu siasatan.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Pihak polis turut menegaskan bahawa siasatan masih diteruskan dari pelbagai sudut bagi melengkapkan kertas siasatan dan meneliti segala maklumat berkaitan kes tersebut.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan, sementara pihak berkuasa meneruskan tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here