Anwar, Wan Azizah zahir takziah, kenang perjuangan A Samad Said

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenang sumbangan Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said dalam mengangkat nasib golongan tersisih serta perjuangannya mempertahankan bahasa Melayu dan menegakkan keadilan.

Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Anwar berkata, karya Allahyarham khususnya novel Salina yang diterbitkan pada 1961 berjaya mendekatkan masyarakat kepada kehidupan golongan yang sering terpinggir.

“Lewat ‘Salina’ (1961), Pak Samad mendekatkan kita kepada insan yang sering tersisih, agar kita turut menggarap duka dan memperjuang harapan mereka.

“Kasihnya kepada rakyat akan terus hidup dalam karya-karyanya, juga dalam kecekalannya membela bahasa Melayu dan memperjuangkan keadilan,” katanya dalam hantaran itu.

Allahyarham A Samad meninggal dunia pada jam 6.10 petang ini ketika berusia 91 tahun.

Pemergian tokoh sastera itu disahkan anak keduanya, Helmy Abdul Samad menerusi hantaran ringkas di platform Threads yang turut menyertakan ungkapan takziah.

Sebelum ini, Allahyarham dilaporkan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dimasukkan ke wad semalam akibat masalah kesihatan berkaitan faktor usia. Allahyarham turut dilaporkan menghidap diabetes.

A Samad atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said dilahirkan di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka dan menerima pengiktirafan Sasterawan Negara pada 1985.

Selain Salina, antara karya terkenal Allahyarham termasuk Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang dan Hujan Pagi yang menjadi sebahagian daripada khazanah penting kesusasteraan Melayu.

Dalam hantaran sama, Anwar berkata, beliau bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Azizah dan saya menzahirkan rahmat ke atas ruh Pak Samad dan mengurniakan ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan.

“Mendoakan segala dosanya dikurniakan keampunan dan ruhnya diberi tempat istimewa disisiNya,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here