Sasterawan Negara A Samad Said meninggal dunia

SASTERAWAN Negara, Datuk Seri A Samad Said meninggal dunia pada jam 6.10 petang ini.

Pemergian tokoh sastera berusia 91 tahun itu disahkan anak keduanya, Helmy Abdul Samad menerusi hantaran ringkas di platform Threads.

“6.10. Innalillahiwainnailaihirojiun,” tulisnya.

Media sebelum ini melaporkan Allahyarham A Samad atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam selepas mengalami masalah kesihatan akibat faktor usia.

Helmy, 63, sebelum ini memaklumkan keadaan bapanya tidak begitu baik selain menghidap diabetes.

“Keadaan bapak tidak begitu baik. Sakit tua. Juga ada diabetes. Masuk lewat petang semalam (Isnin),” katanya.

Menerusi hantaran di Facebook sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mendoakan agar sasterawan tersohor negara itu segera sembuh.

Dilahirkan di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, Allahyarham A Samad menerima pengiktirafan Sasterawan Negara pada 1985 atas sumbangan besar beliau dalam dunia kesusasteraan tanah air.

Antara karya agung yang mengangkat namanya ialah novel Salina yang diterbitkan pada 1961, selain Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang dan Hujan Pagi.

Pemergian beliau merupakan kehilangan besar kepada dunia kesusasteraan Melayu yang sekian lama menerima sumbangan pemikiran dan karya kreatifnya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here