PH akui masih ada kelemahan, baki setahun perlu dimanfaatkan sepenuhnya

PAKATAN Harapan (PH) mengakui masih terdapat kelemahan dalam pentadbiran Kerajaan MADANI yang perlu diperbaiki meskipun pelbagai usaha dilaksanakan sepanjang empat tahun kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan juga perlu mengambil kira harapan rakyat yang masih belum dipenuhi dan terus memberi perhatian terhadap teguran serta kritikan bagi meningkatkan keberkesanan pentadbiran.

Berikut adalah kenyataan penuh Saifuddin Nasution menerusi Majlis Setiausaha PH:

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan mengadakan mesyuarat berkala hari ini. Hari ini juga ulang tahun keempat YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Sepanjang empat tahun pentadbiran YAB Perdana Menteri ke-10 telah menyaksikan pelbagai usaha membawa Malaysia ke arah yang lebih baik meskipun berdepan pelbagai cabaran politik, ekonomi dan sosial. Empat keutamaan menjadi asas pentadbiran Kerajaan dalam tempoh ini.

1. Kestabilan politik. Memelihara kestabilan negara dan perpaduan rakyat agar agenda pembangunan dapat diteruskan.
2. Kemakmuran ekonomi. Memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan, membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing negara.
3. Kebajikan rakyat. Membantu golongan yang memerlukan, meringankan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
4. Tatakelola yang baik. Memerangi rasuah, mengurangkan ketirisan dan memastikan pentadbiran kerajaan yang telus serta bertanggungjawab.

Kita menghargai pencapaian yang diraih sepanjang empat tahun ini. Pada masa yang sama, kita sedar masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki dan harapan rakyat yang belum dipenuhi. Kerajaan mesti terus mendengar teguran, memperbaiki kelemahan dan bekerja dengan lebih berkesan.

Setahun berbaki ini mesti dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempercepat pelaksanaan reformasi, memperkukuh ekonomi dan memastikan hasil pembangunan benar-benar dirasai rakyat dalam kehidupan seharian.

Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan dan kesabaran, serta atas teguran dan kritikan yang membantu kita memperbaiki pentadbiran. Amanah ini akan terus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan rendah hati.

Empat tahun kita membina asas. Dalam setahun berbaki, kita mesti bekerja lebih pantas agar rakyat segera merasai hasilnya. Keutamaan kita tetap rakyat dan masa depan Malaysia.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here