PAS mendakwa sokongan daripada pengundi bukan Islam yang disifatkan tidak ekstrem semakin meningkat, sekali gus memberi keyakinan kepada parti itu untuk mencabar Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkembangan itu dapat dilihat menerusi keputusan beberapa pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini yang dianggap memberi petunjuk positif kepada Pas.
“Kita dapat sokongan bukan Islam yang tidak ekstrem. Ini bertambah,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini, lapor FMT.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan politik semasa dan keyakinan Pas menghadapi pilihan raya akan datang.
Abdul Hadi turut mengaitkan dakwaan peningkatan sokongan itu dengan prestasi DAP yang menurutnya menunjukkan kemerosotan dalam beberapa PRN kebelakangan ini.
“DAP merosot. Petanda yang baiklah. Maksudnya orang bukan Islam ini bukan semua sokong,” katanya.
DAP mengalami kekalahan menyeluruh pada PRN Sabah 2025, selain kehilangan beberapa kerusi penting dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan, termasuk kerusi Chennah yang sebelum ini disandang Setiausaha Agungnya, Anthony Loke.
Bagaimanapun, parti itu berjaya mempertahankan empat kerusi yang ditandinginya pada PRN Melaka 14 November lalu, namun tewas di tiga kerusi lain.
Perkembangan itu berlaku ketika DAP sedang menilai semula pendekatan politiknya selepas Anthony mengakui parti berkenaan berada dalam ‘mod krisis’ ketika berucap pada Konvensyen DAP Selangor hujung minggu lalu.
Anthony turut menegur kehadiran perwakilan yang kurang memberangsangkan pada konvensyen berkenaan, selain mengingatkan parti supaya merangka strategi baharu bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata, keputusan mengenai pembahagian kerusi antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi PRU-16 hanya akan diumumkan apabila semakin hampir dengan tarikh pilihan raya.
Ditanya mengenai pembahagian kerusi di tiga negeri yang ditadbir Pas, beliau berkata, perkara itu masih terlalu awal untuk dibincangkan.
“Insya-Allah tiada masalah, sama ada calon Pas atau UMNO yang bertanding. Tunggu PRU-16,” katanya.
Sebelum ini, penganalisis politik berpandangan kerjasama BN-PN berpotensi berdepan kesukaran mencapai persetujuan mengenai pembahagian kerusi Parlimen khususnya di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, susulan kekalahan UMNO di semua kerusi di negeri berkenaan pada PRU-15.




