“KITA datang ini sebagai tetamu senja. Bila hujung nanti bawa dosa, bawa pahala”.
Itu bait sajak nukilan Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri Dr A Samad Said yang menjadi antara pesanan bermakna yang diharap terus diingati masyarakat.
Anak keempat Allahyarham, Az Abdul Samad, 45, berkata, walaupun bapanya tidak sempat menitipkan pesanan sebelum menghembuskan nafas terakhir, bait puisi berkenaan mencerminkan prinsip dan ingatan yang sering dikongsikan arwah semasa hayatnya.
“Saya harap masyarakat dapat mengingati beliau menerusi karya-karyanya dan perkara-perkara baik yang telah beliau lakukan sepanjang hayat,” katanya ketika ditemui pemberita di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam ini, lapor Bernama.
Berkongsi detik terakhir bersama bapanya, Az berkata, Allahyarham pergi dalam keadaan tenang, dikelilingi ahli keluarga terdekat, cucu-cucu dan rakan, meskipun beberapa adik-beradiknya yang lain menetap di luar negara.
Az berkata, Allahyarham bapanya yang mengalami masalah kesihatan akibat faktor usia akan sentiasa dikenang sebagai seorang individu yang sangat aktif, gemar berjalan kaki, bersederhana dalam pemakanan serta sering menghabiskan masa di kedai buku.
“Beliau sentiasa membaca dan berkongsi ilmu. Ramai yang menyayangi beliau dan saya amat bersyukur menjadi anaknya. Saya memohon semua pihak agar terus mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham,” katanya.
Sementara itu, Az memaklumkan solat jenazah Allahyarham akan berlangsung pada 10 pagi esok di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Terdahulu, anak kedua Allahyarham, Helmy Abdul Samad, 63, ketika dihubungi Bernama memaklumkan bapanya meninggal dunia pada usia 91 tahun kira-kira 6.10 petang di HKL.
A Samad Said atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said dimasukkan ke HKL petang semalam akibat sakit tua dan turut menghidap diabetes.





