Polis tidak tolak kemungkinan panggil Tony Pua berhubung isu minit Lembaga Pengampunan

POLIS tidak menolak kemungkinan memanggil pemimpin DAP, Tony Pua bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pendedahan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, perkara itu akan dirujuk kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya setakat ini masih belum menerima sebarang laporan polis berhubung isu berkenaan.

“Setakat ini, tak ada laporan polis berhubung isu ini… semua benda ini digembar-gemburkan di media sosial dan sebagainya, tapi pihak polis bersedia untuk menyiasat perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Kanan Polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini, lapor Bernama.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan polis menggerakkan segala sumber bagi menyiasat dakwaan kebocoran minit mesyuarat berkenaan.

Arahan itu dibuat susulan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya polis menyiasat dakwaan kebocoran dan penyebaran dokumen berkenaan.

Ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Anwar menafikan dakwaan bahawa kerajaan menyebarkan minit mesyuarat yang diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia itu kepada umum.

Sebaliknya, beliau menjelaskan dokumen berkaitan pengampunan bersyarat Najib itu disebarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) atau Jabatan Peguam Negara (AGC).

Perdana Menteri berkata, sebahagian dokumen berkenaan dinyahklasifikasikan oleh AGC bagi tujuan menyediakan jawapan untuk menghadapi kes berkaitan isu itu yang dibawa ke mahkamah.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here