MCMC saman Google RM600 juta berhubung kandungan memudaratkan di YouTube

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan dua tindakan mahkamah terhadap Google LLC dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta berhubung dakwaan kegagalan syarikat itu menangani kandungan dalam talian yang memudaratkan di platform YouTube.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan, kedua-dua saman berkenaan membabitkan isu berbeza dan berkaitan dakwaan kegagalan Google mematuhi kewajipan di bawah undang-undang serta syarat lesen yang ditetapkan.

Bagi setiap saman, MCMC menuntut ganti rugi RM300 juta merangkumi RM100 juta ganti rugi am, RM100 juta ganti rugi teruk (aggravated damages) dan RM100 juta ganti rugi teladan (exemplary damages).

Tuntutan itu mengambil kira penggunaan sumber dan tenaga kerja yang besar oleh MCMC dalam menangani lebih 50,000 kandungan dalam talian yang memudaratkan susulan dakwaan kegagalan sistemik Google.

Saman pertama membabitkan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya terhadap ribuan kandungan memudaratkan termasuk perjudian dalam talian, penipuan dan kegiatan scam.

Menurut MCMC, dari 1 Januari hingga 28 Oktober 2026, sebanyak 74,703 laporan dikemukakan kepada YouTube, dengan 74,569 laporan atau 99.8 peratus daripadanya berkaitan perjudian dalam talian.

Daripada jumlah laporan berkaitan perjudian dalam talian itu, sebanyak 32,781 menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan dalam tempoh sehari, manakala 4,950 laporan tidak menerima sebarang maklum balas.

Selain itu, sebanyak 35 laporan mengambil masa lebih 90 hari untuk menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan, manakala 1,468 laporan mengambil masa lebih 30 hari.

MCMC berkata, angka berkenaan menggambarkan skala penyebaran kandungan memudaratkan di YouTube serta kelewatan dalam menangani kandungan terbabit.

Saman kedua pula berkaitan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah statutori dan proaktif sewajarnya berhubung penerbitan semula kandungan yang melanggar undang-undang di YouTube oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau lebih dikenali sebagai Papagomo.

Kandungan berkenaan kini tertakluk kepada injunksi interim yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun 2026.

MCMC menegaskan semua penyedia platform media sosial yang tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 perlu mematuhi kewajipan undang-undang dan syarat lesen masing-masing.

Menurut suruhanjaya itu, tindakan berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan untuk memastikan penyedia platform bertanggungjawab terhadap kandungan yang disiarkan, selain mencegah ketidakpatuhan sama daripada berulang.

MCMC turut menggesa semua penyedia platform mengambil langkah sewajarnya bagi menangani kandungan yang melanggar undang-undang dan memudaratkan, khususnya bagi melindungi orang awam termasuk kanak-kanak daripada ancaman dalam talian.

Kedua-dua tindakan mahkamah itu juga bertujuan menangani penyebaran berterusan kandungan yang sebelum ini sudah menjadi subjek tindakan pengawalseliaan dan campur tangan mahkamah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here