MENTERI Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil merasmikan NEXSEC2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur hari ini.
MCMC dalam kenyataan berkata, NEXSEC2026 yang berlangsung hari ini sehingga esok menghimpunkan wakil kerajaan, agensi keselamatan, industri, institusi pengajian tinggi serta wakil negara anggota ASEAN bagi memperkukuh kesiapsiagaan dan daya tahan siber negara.
Kata MCMC, bertemakan “Advancing Cyber Resilience Through Collaboration, Innovation and Talent”, NEXSEC2026 memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan operasi, inovasi teknologi dan pembangunan bakat menerusi pertandingan Capture the Flag (CTF),
‘’Simposium Perkongsian Teknologi, Meja Bulat Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat (CISO) serta Pameran Teknologi dan Bakat. Pengisian ini bertujuan meningkatkan kemahiran praktikal, menggalakkan perkongsian penyelesaian dan memperkukuh keupayaan organisasi menghadapi ancaman siber,’’ kata MCMC dalam kenyataan.
MCMC turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA). Kerjasama strategik ini bertujuan mempertingkat perkongsian maklumat mengenai ancaman siber, penyelarasan tindak balas serta pembangunan keupayaan antara kedua-dua agensi, selaras dengan fungsi dan bidang kuasa masing-masing.
‘’Laporan rasmi Global Anti-Scam Alliance (GASA) yang diterima oleh YB Menteri Komunikasi pula menganggarkan kerugian akibat penipuan di Malaysia mencecah RM19.7 bilion dalam tempoh setahun, sekali gus menekankan kepentingan memperkukuh usaha pencegahan dan perlindungan pengguna,’’ kata kenyataan itu.
Menurut MCMC, ancaman siber, penipuan dalam talian serta perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum memerlukan pendekatan yang lebih proaktif.
Sehubungan itu, kata MCMC kerajaan perlu terus memperkukuh pengesanan awal ancaman, perlindungan infrastruktur digital serta kesiapsiagaan dalam menghadapi perkembangan teknologi baharu bagi menjamin keselamatan dan keyakinan rakyat.
‘’MCMC komited untuk memperkukuh kesiapsiagaan dalam menghadapi ancaman siber melalui kerjasama strategik, peningkatan keupayaan industri dan pembangunan kepakaran tempatan. Usaha ini penting bagi melindungi rakyat, memperkukuh keyakinan terhadap perkhidmatan digital dan memastikan Malaysia bersedia menghadapi ancaman siber masa hadapan,’’ kata kenyataan berkenaan.





