KESTABILAN politik sepanjang empat tahun pentadbiran Kerajaan MADANI memberi ruang kepada kerajaan melaksanakan reformasi struktur serta memperkukuh agenda kesejahteraan rakyat menerusi sistem perlindungan sosial yang lebih tersusun dan bersasar.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial Gunaan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Nurshuhada Mohamed berkata, pendekatan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat secara keseluruhannya menunjukkan perkembangan agak baik dan proaktif, khususnya menerusi peluasan jaringan keselamatan sosial.
Menurutnya, pendekatan terhadap kesejahteraan rakyat memperlihatkan peralihan daripada bantuan bersifat ad hoc kepada sistem perlindungan sosial yang lebih berstruktur, bersasar dan berjadual.
Beliau berkata, usaha itu dapat dilihat menerusi peluasan bantuan tunai dan barangan asas, peningkatan pendapatan rakyat serta penyasaran semula subsidi bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) meningkat secara berperingkat daripada RM8 bilion pada 2022 kepada RM15 bilion pada 2026, yang memanfaatkan kira-kira 22 juta rakyat, dan dijadualkan meningkat kepada RM16 bilion pada 2027.
“Inisiatif seperti Program Payung Rahmah dan Jualan Rahmah MADANI turut diperluaskan ke puluhan ribu lokasi bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian isi rumah,” katanya kepada utusanmelayuplus.

Nurshuhada berkata, kerajaan juga tidak hanya bergantung kepada pemberian bantuan kewangan, sebaliknya memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan secara struktur menerusi pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,700 sebulan yang dirancang meningkat kepada RM2,000 mulai Jun 2027, selain pelarasan gaji penjawat awam.
Katanya, dari sudut sosioekonomi, kadar kemiskinan mutlak negara turut mencatatkan penurunan daripada 6.2 peratus pada 2022 kepada 5.1 peratus pada 2024.
Dalam aspek penyasaran subsidi dan kawalan kos sara hidup pula, beliau berkata, pelaksanaan mekanisme seperti BUDI MADANI dan BUDI95 membolehkan subsidi disalurkan secara lebih bersasar, termasuk mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter bagi golongan yang layak.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih berdepan cabaran memastikan pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada kelegaan kos sara hidup yang benar-benar dirasai rakyat.
“Walaupun penunjuk makroekonomi seperti pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencapai 5.5 peratus pada suku ketiga 2026 dan kadar inflasi keseluruhan sekitar 1.8 peratus pada September 2026 berada pada tahap terkawal, kenaikan harga makanan dan pengangkutan masih dirasai golongan B40 dan M40,” katanya.
Beliau berkata, integrasi kearifan tempatan serta nilai agama dalam tadbir urus turut penting bagi mempromosikan keamanan, mencegah konflik dan memastikan pembangunan dilaksanakan selaras dengan konteks budaya masyarakat.
Katanya, pendekatan itu bertepatan dengan konsep MADANI yang menggabungkan tadbir urus moden dengan nilai tradisional dan agama bagi membentuk masyarakat yang adil serta makmur.
Usaha memperkukuh kebajikan sosial menerusi pengurusan pengagihan zakat untuk pembangunan ekonomi, sosial dan pendidikan juga mencerminkan pendekatan menyeluruh kerajaan dalam memenuhi keperluan rakyat.
Dalam pada itu, Nurshuhada berkata, ketiadaan krisis pertukaran kerajaan sepanjang empat tahun pentadbiran memberi ruang penting kepada kerajaan melaksanakan reformasi struktur yang sukar, termasuk penyasaran semula subsidi, reformasi fiskal dan kerangka Ekonomi MADANI.
Menurutnya, kestabilan politik turut membantu memulihkan keyakinan pelabur domestik dan asing, sekali gus menjana hasil negara bagi membiayai pelbagai program kebajikan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kestabilan politik membolehkan kerajaan meneruskan dasar jangka panjang yang mungkin kurang popular dalam jangka pendek, tetapi penting untuk memperkukuh kedudukan ekonomi negara.
Katanya, pelaksanaan reformasi fiskal seperti penyasaran semula subsidi bahan api dan utiliti, reformasi percukaian serta kerangka pelaburan berimpak tinggi memerlukan jaminan kesinambungan dasar.
“Tanpa jaminan mandat politik yang stabil, dasar jangka panjang seperti ini sukar bertahan daripada kitaran populis jangka pendek,” katanya memetik pandangan Saifuddin (2026).
Bagaimanapun, katanya, kestabilan di peringkat Parlimen Persekutuan tidak bermakna kerajaan bebas daripada cabaran keutuhan dalaman, terutama membabitkan kerjasama gabungan pelbagai parti.
Menurutnya, model kerajaan gabungan menuntut proses rundingan dan persefahaman berterusan, khususnya apabila berhadapan dengan pertembungan kerusi serta persaingan antara parti komponen pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Hubungan kerjasama di peringkat persekutuan sering diuji apabila berhadapan dengan pertembungan kerusi dan dinamika persaingan antara parti-parti komponen di peringkat negeri.
“Sekiranya perbezaan naratif dan ketegangan politik dalaman tidak diurus dengan berhemah, ia berisiko mengalih tumpuan jentera pentadbiran daripada menyantuni masalah rakyat kepada urusan kelangsungan kuasa politik,” katanya, merujuk pandangan Mashitah (2026).
Secara keseluruhannya, Nurshuhada berkata, empat tahun pentadbiran Kerajaan MADANI memperlihatkan usaha berterusan dalam membina jaringan keselamatan sosial rakyat, dengan kestabilan politik menjadi antara faktor yang membolehkan dasar fiskal diterjemahkan ke peringkat pelaksanaan.
Bagaimanapun, katanya, fasa seterusnya memerlukan kerajaan beralih daripada sekadar menyediakan bantuan kecemasan berbentuk tunai kepada pembinaan perlindungan ekonomi jangka panjang.
“Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada penciptaan peluang pekerjaan berjawatan tinggi, pengurangan kos rantaian bekalan makanan dan pembaharuan struktur ekonomi yang membolehkan rakyat berdikari.
“Kestabilan politik yang ada tidak wajar dianggap terjamin, sebaliknya perlu terus dipelihara melalui kesepakatan dasar dan kesepaduan matlamat yang mengutamakan kelangsungan hidup rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.





