Tatakelola MADANI betulkan paksi kuasa negara secara kekal bukan kukuhkan kedudukan pemerintah semasa

EMPAT tahun pentadbiran Kerajaan MADANI memperlihatkan kemajuan dalam pembinaan kerangka reformasi institusi namun perubahan sistemik masih memerlukan masa dan pelaksanaan yang konsisten.

Bercakap kepada Bernama,  Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata pembaharuan yang diperkenal menunjukkan usaha kerajaan mengalihkan pendekatan pentadbiran daripada kebergantungan kepada budi bicara eksekutif kepada sistem berasaskan peraturan, pengawasan dan akauntabiliti.

“Pada hemat saya, pencapaian Kerajaan MADANI setakat ini boleh dianggap sebagai kemajuan pada peringkat kerangka dan asas institusi tetapi masih berdepan cabaran dari segi pelaksanaan dan pembudayaan reformasi.

“Rakyat akhirnya mahu melihat hasil yang nyata, bukannya sekadar mendengar komitmen pembaharuan,” katanya sambil menambah autonomi Parlimen juga perlu diterjemah kepada pengawasan lebih berkesan terhadap eksekutif termasuk pemerkasaan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan JKPK.

Mujibu berkata cabaran utama kerajaan ialah memastikan reformasi tidak terhenti pada penggubalan undang-undang sebaliknya mengubah budaya pentadbiran dan memberikan manfaat yang dapat dirasai rakyat.

Sementara itu, Penolong Pengurus Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Syazwan Zainal berkata Kerajaan MADANI adalah kesinambungan dan dalam beberapa aspek, kemuncak kepada usaha reformasi dalam landskap politik Malaysia.

Beliau berkata bidang utama reformasi institusi yang akan menjadi legasi kerajaan ini ialah pemerkasaan Parlimen sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menjadikan Parlimen menjadi sebuah badan bebas yang mampu melaksanakan fungsi semak dan imbang yang berkesan terhadap cabang eksekutif.

“Pengembalian Akta Perkhidmatan Parlimen adalah contoh terbaik… perundangan ini mewujudkan Majlis Perkhidmatan Parlimen, yang memberikan autonomi serta kuasa kepada majlis berkenaan untuk melantik kakitangan dan mengagihkan sumber kewangan.

“Kebebasan Perkhidmatan Parlimen amat kritikal bagi memastikan Ahli Parlimen daripada pelbagai blok politik mendapat sokongan dari segi sumber kewangan dan tenaga kerja. Hal ini seterusnya akan menyumbang kepada perbahasan lebih berkualiti di Parlimen dan penelitian dasar yang lebih mantap,” katanya.

Mengulas mengenai penggubalan dan pindaan undang-undang baharu seperti Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal serta pindaan terhadap Akta Audit, Syazwan berkata perundangan sebegini amat penting bagi menutup ruang ketirisan dan memperkenal piawaian ketelusan kerajaan yang lebih tinggi.

Bagi menangani ketirisan kewangan dengan lebih berkesan dan mengurangkan risiko rasuah, beliau menyarankan agar Akta Pembiayaan Politik yang mantap serta komprehensif diluluskan selain reformasi pelengkap lain seperti penggubalan Akta Kebebasan Maklumat, penubuhan Ombudsman dan pindaan terhadap Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Akta Entiti Kerajaan

Syazwan turut menyifatkan reformasi yang dimulakan oleh Kerajaan MADANI sebagai asas kukuh yang berupaya memacu hala tuju pembaharuan lebih mantap pada masa hadapan dan berkata kerajaan perlu membuktikan kesungguhannya dengan meluluskan baki inisiatif reformasi yang telah dijanjikan sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Sekiranya Kerajaan MADANI berjaya meluluskan reformasi berkenaan sebelum PRU akan datang, ia akan membuktikan bahawa pentadbiran ini adalah sebuah kerajaan yang membawa perubahan transformatif. Setelah semua inisiatif ini diluluskan, kerajaan boleh memberi hujah bahawa ia telah mengemudi Malaysia ke arah yang betul,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Gabungan Reformis Malaysia (GRM) Zulkefly Othman menyifatkan penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 pada 1 Okt lepas sebagai pencapaian bersejarah yang membuktikan iltizam kerajaan memperkukuh kebebasan badan legislatif daripada eksekutif.

“Jarang sekali dalam amalan demokrasi, seorang Perdana Menteri sanggup menyerahkan semula kuasa mutlak eksekutif kepada legislatif.

“Langkah ini membuktikan tatakelola di bawah Kerajaan MADANI digerakkan untuk membetulkan paksi kuasa negara secara kekal, bukan sekadar mengukuhkan kedudukan pemerintah semasa,” katanya.

Beliau berkata gabungan reformasi perundangan termasuk Akta Perolehan Kerajaan, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 serta pindaan Akta Audit 1957 membentuk penanda aras institusi baharu yang mampu menutup ruang ketirisan dan memperkukuh keyakinan pelabur.

“Tatakelola yang bersih dan integriti yang kukuh inilah yang menjadi magnet keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa sekali gus menjamin peluang ekonomi yang lebih adil untuk generasi muda.

“Perjuangan membudayakan integriti memang menuntut kesabaran dan konsistensi namun Kerajaan MADANI telah meletakkan batu asas paling kukuh agar Malaysia melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara bermaruah, telus serta bebas daripada cengkaman kleptokrasi,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here