SEBANYAK 40 permohonan diterima bagi fasa pertama Dana Inovasi Media 2.0 yang menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM30 juta bagi menyokong pembangunan industri media negara.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata Kementerian Komunikasi akan meneliti semua permohonan yang diterima sepanjang tempoh permohonan dibuka dari 1 hingga 14 Nov lepas.
Beliau berkata kementerian bersedia membuka pusingan kedua permohonan sekiranya masih terdapat baki peruntukan selepas proses penilaian selesai.
Mengulas pelaksanaan Dana Inovasi Media 1.0 yang turut melibatkan peruntukan RM30 juta, Teo berkata sebanyak 72 syarikat media menerima pembiayaan menerusi lima fasa permohonan, termasuk lima syarikat dan organisasi media berbahasa Tamil.
“Saya rasa sangat-sangat gembira dan juga berbangga kerana lima syarikat dan juga organisasi media Tamil termasuklah Vanakkam Malaysia telah mendapat manfaat melalui dana tersebut,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Filem Pendek Vanakkam Maxx 2026 Petaling Jayahari ini.
Dalam pada itu, Teo menggesa penggiat industri kreatif supaya merebut peluang mendapatkan pembiayaan menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) seliaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM15 juta menerusi enam kategori pembiayaan.
Beliau berkata permohonan bagi dana berkenaan dibuka sejak 16 Nov lepas hingga 21 Dis ini menerusi Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK) di portal sspik.finas.my.
Sementara itu, Teo memuji penganjuran pertandingan filem pendek berbahasa Tamil berkenaan yang menerima lebih 80 penyertaan, dengan 10 karya terbaik dipilih ke peringkat akhir bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai RM22,500 serta peluang menyertai penerbitan Vanakkam Maxx.
Beliau berkata penghasilan filem pendek berdurasi kurang daripada 20 minit sering menjadi titik permulaan penting bagi pengkarya sebelum melangkah ke bidang penerbitan filem cereka.
Teo turut menyifatkan kejayaan penggiat filem Tamil tempatan pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) dan Anugerah Golden Horse ke-63 di Taiwan baru-baru ini sebagai bukti potensi besar karya tempatan.
Pada pertandingan itu, filem pendek Deka terbitan VIP Viewers muncul juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000 dan trofi, manakala Paranoia terbitan Infinova Pictures menduduki tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM6,000 dan trofi.
Filem pendek Naanga Naalu Per pula menduduki tempat ketiga, sekali gus membawa pulang wang tunai RM4,000 dan trofi.





