KERAJAAN berjaya mengurangkan jumlah hutang baharu tahunan negara daripada kira-kira RM100 bilion ketika mengambil alih pentadbiran kepada sekitar RM70 bilion ketika ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pengurangan itu dilaksanakan secara berperingkat menerusi pengurusan kewangan negara yang lebih berhemah.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih perlu menanggung komitmen pembayaran hutang lama yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu, termasuk membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Tabung Haji (TH).
“Hutang lama itu masih mempunyai faedah yang perlu dibayar. Hutang 1MDB, Tabung Haji dan Felda masih perlu diselesaikan hingga hari ini.
“Saya cuma mengurangkan hutang baharu, tetapi hutang lama tetap perlu dibayar, sebab itu jumlah keseluruhan hutang negara masih kelihatan besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Skim Usahawan Bangkit MADANI peringkat negeri di Terengganu Equestrian Resort (TER) di Kuala Terengganu hari ini, lapor Bernama.
Menurut Anwar, kerajaan perlu terus memenuhi komitmen pembayaran hutang berkenaan bagi memastikan kedudukan kewangan negara serta kelangsungan operasi institusi terbabit terpelihara.
Beliau berkata, kerajaan antaranya perlu menyediakan RM980 juta setahun bagi menyelesaikan hutang lama Felda.
Tanggungjawab sama turut membabitkan TH bagi memastikan wang pendeposit serta kebajikan jemaah haji terus terpelihara.
Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri menegaskan pengurusan kewangan negara secara berhemah penting bagi memastikan komitmen sedia ada dapat dilunaskan tanpa menjejaskan keupayaan kerajaan menyediakan bantuan dan kemudahan kepada rakyat.
“Kerajaan perlu memastikan tanggungjawab kewangan terhadap institusi terbabit diselesaikan secara teratur dan bertanggungjawab.
“Langkah ini penting bagi memelihara kedudukan kewangan negara serta memastikan kelangsungan operasi institusi dalam melaksanakan peranannya membantu golongan usahawan,” katanya dalam hantaran itu.
Beliau berkata, pengurusan kewangan yang tersusun dan berdisiplin membolehkan sumber negara dimanfaatkan dengan lebih berkesan, khususnya bagi menyokong usaha pemulihan dan pembangunan usahawan.
Dalam masa sama, katanya, institusi terbabit perlu terus berupaya menyediakan sokongan supaya usahawan dapat bangkit, memperkukuh perniagaan dan meneruskan aktiviti ekonomi.
Anwar berkata, keseimbangan antara menyelesaikan komitmen kewangan sedia ada dengan memenuhi keperluan rakyat perlu terus dipelihara bagi memastikan pengurusan kewangan negara kekal mampan dan manfaatnya dapat dirasai secara berterusan.





