Hubungan diplomatik dengan Myanmar bantu tangani isu pelarian – PM

HUBUNGAN diplomatik yang baik dengan Myanmar membolehkan Malaysia mengambil langkah lebih berkesan dalam menangani isu pelarian dari negara itu, termasuk melaksanakan proses penghantaran pulang secara berperingkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu membabitkan kira-kira 200,000 rakyat Myanmar di Malaysia tidak boleh diselesaikan sepenuhnya dengan mengharapkan campur tangan badan antarabangsa atau negara luar, sebaliknya memerlukan rundingan secara langsung dengan kerajaan negara berkenaan.

Beliau berkata, pendekatan diplomasi itu membuahkan hasil apabila kira-kira 10,400 rakyat Myanmar sudah dibawa pulang, manakala penghantaran pulang ribuan lagi sedang diatur.

Katanya, usaha itu penting memandangkan isu pelarian berkenaan sudah berlarutan sejak puluhan tahun lalu tanpa penyelesaian menyeluruh.

“200,000 rakyat Myanmar di Malaysia tidak akan diselesaikan badan antarabangsa dan negara asing. Betapa hebat pun mereka berbicara, kita terpaksa menyelesaikannya sendiri.

“Jadi kita runding dengan baik dengan Kerajaan Myanmar dan setakat ini sekitar 10,400 sudah dibawa keluar, manakala ribuan lagi telah diatur untuk dibawa pulang,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2026-2030 di ibu negara hari ini.

Anwar berkata, dalam rundingan itu, kerajaan turut memberi perhatian kepada aspek keselamatan pelarian yang dihantar pulang bagi memastikan mereka tidak berdepan ancaman selepas kembali ke negara asal.

Menurutnya, jaminan keselamatan yang diperoleh membolehkan Malaysia terus memantau keadaan mereka meskipun sudah berada di Myanmar.

“Jadi bila ada jaminan itu, bolehkah kita pantau dari jauh? Jawabnya boleh. Kita bukan menyerahkan mereka dipancung,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here