Kemelut politik Negeri Sembilan menuju fasa baharu, istiadat angkat sumpah Exco esok

KEMELUT politik Negeri Sembilan yang menyaksikan pentadbiran negeri beroperasi tanpa barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sejak September lalu dijangka memasuki fasa baharu apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dijadual mengangkat sumpah jawatan itu esok.

Istiadat berkenaan dijadual berlangsung pada jam 9 pagi di Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah, berdasarkan jemputan kepada media yang dikeluarkan pihak istana petang ini.

Perkembangan itu berlaku selepas beberapa pertemuan penting berlangsung di Istana Hinggap di Seremban hari ini membabitkan Menteri Besar, Datuk  Ismail Lasim dan pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, hadir bersama Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Walaupun jemputan itu tidak menyatakan nama individu yang bakal dilantik, perkembangan berkenaan mencetuskan petunjuk bahawa Ismail berkemungkinan terus menerajui kerajaan negeri sebagai Menteri Besar.

Kedudukan Ismail sebelum ini menjadi perhatian selepas BN mengumumkan beliau meletakkan jawatan minggu lalu, namun beliau kemudiannya menafikan menyerahkan peletakan jawatan kepada pihak istana.

Kekosongan barisan Exco pula berpunca daripada keputusan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua 10 ahli Exco pada 20 September lalu, susulan pertikaian berhubung kedudukan institusi diraja negeri.

Kesemua 10 ADUN daripada BN dan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini membawa keputusan berkenaan ke mahkamah bagi mencabar pelucutan jawatan mereka.

Bagaimanapun, mereka kemudian menarik balik saman berkenaan susulan dakwaan bahawa Ismail telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Tindakan itu diteruskan meskipun Mahkamah Tinggi Seremban menegaskan bahawa peletakan jawatan Ismail belum disahkan.

Pertikaian tercetus selepas kesemua Exco berkenaan mempertahankan tindakan menyingkirkan Tuanku Muhriz pada April lalu sebagai sah, selain mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah baharu negeri.

Pihak istana bagaimanapun berpandangan tindakan itu bertentangan dengan sumpah taat setia mereka kepada pemerintah dan institusi diraja.

Istiadat esok kini menjadi tumpuan bagi melihat pembentukan semula barisan pentadbiran negeri serta perkembangan terkini kedudukan Menteri Besar.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here