Wujud unsur khianat cuba jatuhkan kerajaan stabil di Negeri Sembilan – Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim menyifatkan apa yang berlaku di Negeri Sembilan ada unsur khianat kerana wujud usaha menjatuhkan sebuah kerajaan yang memiliki kestabilan politik.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, kenyataannya sebelum ini mengatakan bagi menjayakan kerjasama dalam negara tidak seharusnya ada unsur-unsur khianat.

“Kalau tak khianat, baguslah. Tetapi, kalau dalam kita tengok pengalaman kita di Negeri Sembilan, tentunya ada usaha… dalam keadaan stabil politiknya, ekonominya, tapi ada usaha-usaha untuk menjatuhkan.

“Jadi, itu bagi saya ada sedikit pengkhianatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-10 Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (Koprojaya) di Putrajaya hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa tidak harus timbul isu pengkhianatan apabila sesuatu penggal pentadbiran di peringkat negeri mahupun nasional berakhir dan tamat.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, sokongan Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan Negeri Sembilan sememangnya diberikan secara konsisten hingga ke akhir penggal pentadbiran.

Namun, beliau berkata, apabila Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan mengenai pembubaran itu, sebagai sebuah gabungan parti, BN tentunya mempunyai hala tuju yang harus diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Portal FMT melaporkan, Anwar ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya PH Negeri Sembilan semalam berkata, beliau tidak bersetuju pilihan raya awal di Negeri Sembilan memandangkan kerajaan negeri itu baru memasuki tahun ketiga.

Perdana Menteri dilaporkan menyampaikan rasa tidak puas hati kepada Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun, tetapi menegaskan ‘tiada pilihan lain’ akibat ketidakpastian daripada UMNO selepas 14 wakil rakyatnya menarik sokongan terhadap Aminuddin sebagai Menteri Besar, sebelum mengubah pendirian mereka.

“Ini adalah ‘wayang kulit’,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, terserah kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, namun tumpuan sepatutnya diberikan kepada penjanaan pertumbuhan, ekonomi negara dan masalah dihadapi rakyat.

Bagaimanapun beliau berkata, beberapa bulan kebelakangan ini, isu pilihan raya sibuk ditimbulkan sedangkan ketika ini negara berdepan impak krisis ekonomi.

“Kalau tidak ada khianat, tak apalah. Tapi maknanya kita harus tingkatkan kefahaman mengapa kerjasama dan muafakat itu penting, dan bila ada keperluan pilihan raya pada masanya, jalanlah,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img