Kerajaan Negeri Sembilan iktiraf tiga Undang baharu – Ismail Lasim

KERAJAAN Negeri Sembilan mengiktiraf pelantikan tiga Undang baharu mengikut adat luak masing-masing, susulan pengesahan bahawa dua penyandang terdahulu telah terhenti daripada memegang jawatan berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, tiga Undang yang diiktiraf ialah Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Muhammad Faris Johari; Undang Luak Rembau, Datuk Hassan Abu Hamid dan Undang Luak Jelebu, Datuk Azrin Khairi.

Beliau berkata, Datuk Mubarak Dohak dan Datuk Maarof Mat Rashad masing-masing telah terhenti daripada memegang jawatan Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak Jelebu mengikut adat luak masing-masing.

“Datuk Abdul Rahim Yasin juga tidak pernah dilantik secara sah sebagai Undang Luak Rembau menurut adat yang dikehendaki, malah pelantikannya tidak pernah disempurnakan melalui istiadat menzahirkan kejadian undang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seremban hari ini, lapor Sinar Harian.

Menurut Ismail, susulan perkembangan itu, ketiga-tiga individu berkenaan tidak mempunyai kuasa di sisi undang-undang untuk melaksanakan sebarang kuasa di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Katanya, beliau akan merujuk kepada Dewan di bawah Perkara 16(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 sekiranya timbul sebarang persoalan berkaitan adat, termasuk pemilihan, penggantian, penyingkiran atau pengosongan jawatan Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong.

“Saya berjanji tanpa berbelah bahagi untuk mengiktiraf dan melaksanakan kesemua ketetapan Dewan, sama ada yang telah dibuat mahupun yang akan dibuat, termasuk mewartakannya secepat mungkin apabila perlu,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, kerajaan negeri akan menghentikan pemberian pengiktirafan, emolumen, kediaman, kakitangan dan keistimewaan jawatan Undang kepada mana-mana individu yang diputuskan Dewan tidak lagi memegang jawatan berkenaan.

Sebaliknya, segala kemudahan dan keistimewaan itu akan disediakan kepada individu yang diiktiraf Dewan sebagai penyandang sah jawatan Undang di setiap luak.

“Kemudahan pengiktirafan dan keistimewaan itu akan disediakan dengan segera dan tidak akan ditangguhkan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here