DEWAN Rakyat meluluskan Belanjawan 2027 menerusi undian suara hari ini.
Timbalan Speaker, Datuk Seri Ramli Nor berkata, Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 diluluskan pada bacaan kali ketiga tanpa pindaan selepas perbahasan mengenai peruntukan setiap kementerian selesai.
Rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan disokong Timbalannya, Liew Chin Tong, lapor FMT.
Usul berasingan yang membenarkan perbelanjaan pembangunan sehingga RM85 bilion bagi 2027 turut diluluskan menerusi undian suara.
Rang Undang-Undang Perbekalan itu seterusnya akan dibawa ke Dewan Negara untuk dibahaskan dan diluluskan.
Bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’, Belanjawan 2027 menggariskan lapan lunas utama merangkumi komitmen untuk kehidupan rakyat lebih baik sehingga ke agenda memperkukuh daya tahan dan masa depan negara.
Belanjawan kelima di bawah Kerajaan MADANI itu melibatkan peruntukan kerajaan berjumlah RM459.8 bilion, selain RM25 bilion pelaburan daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), RM11 bilion pelaburan awam-swasta serta RM14.2 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).
Ini menjadikan keseluruhan Belanjawan 2027 meneruskan dasar fiskal mengembang sebanyak RM510 bilion, menurut Bernama.
Persidangan bersambung Isnin depan.





