PEMBANGUNAN Masjid Warisan Jalan Davis berhampiran Tun Razak Exchange (TRX) perlu menitikberatkan pengisian budaya dan warisan Islam, selain keunggulan seni bina serta penggunaan teknologi moden.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masjid berkenaan perlu mencerminkan identiti Islam, Melayu dan Malaysia agar menjadi mercu tanda yang bukan sahaja megah dari segi fizikal, malah hidup dengan kegiatan serta tradisi keagamaan.

“Kita membawa warisan Islam, warisan Melayu dan warisan Malaysia dengan teknologi moden.
“Jadi hebat teknologi, budayanya gersang. Kita nak hebat masjid ini tapi ada budaya pengisiannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Tapak Projek Masjid Warisan Jalan Davis di ibu negara hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Hasan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Perdana Menteri turut meminta supaya perancangan pembangunan masjid itu mengambil kira keadaan persekitaran, khususnya kedudukannya di kawasan bandar yang dikelilingi bangunan pencakar langit serta berdepan risiko banjir.
Beliau mencadangkan supaya sebahagian kawasan masjid dijadikan takungan air berbentuk tasik yang bukan sahaja dapat mencantikkan landskap, malah berfungsi membantu mengurangkan risiko banjir.
“Kawasan yang di Kuala Lumpur dan juga kawasan banjir. Boleh tak kita jadikan kawasan sedikit kawasan di masjid ini kawasan takungan air dengan sebagai tasik yang indah?,” katanya.
Selain itu, kata beliau, kemudahan laluan pejalan kaki yang menghubungkan TRX dengan masjid perlu diberi perhatian bagi memudahkan pekerja di kawasan berkenaan menunaikan solat.
“Jangkaan ribuan staf sana yang nak solat di sini, dia pakai laluan pejalan kaki terus ke masjid. Kerana ini satu perencanaan yang baik,” katanya.
Sementara itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam kenyataan memaklumkan, masjid itu akan dibangunkan di atas tapak seluas 4.6 ekar berkonsepkan Masjid Dalam Taman dan mampu menampung sehingga 4,500 jemaah pada satu-satu masa.
Projek berkenaan mempunyai siling peruntukan RM70 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan RM4.1 juta diluluskan bagi kerja-kerja awalan di bawah Rolling Plan 2 (RP2) Tahun 2027.





