MAHKAMAH Sesyen Kuantan hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima dan dua tahun masing-masing ke atas dua bekas kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang, selepas didapati bersalah mengubah suai senarai penerima darjah kebesaran dan pingat negeri itu tanpa kebenaran.
Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman terhadap Mohd Isa Mohd Yusof, 40, dan Amer Syafeeq Aziz, 34, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mohd Isa didapati bersalah atas 26 pertuduhan, manakala Amer Syafeeq atas dua pertuduhan membabitkan pengubahsuaian kandungan laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang antara 2020 hingga 2021.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan terhadap Mohd Isa, manakala Amer Syafeeq dikenakan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dengan semua hukuman berjalan serentak, lapor BH.
Dalam rayuan, peguam kedua-dua tertuduh, Mohammad Hamizey Mat Taib dan Datuk Zaharman Zainal Abidin memohon supaya pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fathin Nadhirah Kasim dan Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi memohon supaya hukuman penjara dilaksanakan berikutan keseriusan kesalahan dilakukan.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan penggantungan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Kedua-dua tertuduh turut diperintahkan menyediakan jaminan masing-masing sebanyak RM130,000 bagi Mohd Isa dan RM10,000 bagi Amer Syafeeq.
Pada 28 Disember 2022, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengubah suai kandungan laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang tanpa kebenaran antara 19 Februari 2020 hingga 12 Oktober 2021.
Mohd Isa didakwa memasukkan nama 26 individu sebagai penerima pingat Datuk dan Datuk Seri daripada Sultan Pahang, walaupun mereka tidak tersenarai untuk menerima anugerah berkenaan.
Sementara itu, Amer Syafeeq didakwa melakukan perbuatan sama dengan memasukkan nama tiga individu ke dalam senarai penerima anugerah berkenaan.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta sama, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.





