DUA pesara tentera mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas enam pertuduhan bersama membabitkan penipuan dan pemalsuan dokumen berkaitan tender palsu Kementerian Pertahanan (MINDEF) yang mengakibatkan kerugian RM1.28 juta.
Mejar (B) Rosle Mat Isa, 54, dan bekas pegawai waran, Mohd Syazwan Steve Abdullah, 45, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap tiga ahli perniagaan antara April hingga Ogos 2019.
Mereka didakwa memperdaya mangsa dengan menawarkan beberapa kontrak kerajaan palsu, termasuk kerja mengecat kenderaan perisai tentera serta pembekalan peralatan bagi kemudahan dan acara ketenteraan, lapor Berita RTM.
Di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad, kedua-dua tertuduh didakwa menipu Pak Chee Hwa, 59, pada Ogos 2019 dengan menawarkan kontrak kerajaan bernilai RM400,000.
Perbuatan itu didakwa mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM200,000 kepada Mohd Syazwan sebagai modal bagi mendapatkan kontrak berkenaan.
Sementara itu, di hadapan Hakim Rosli Ahmad, mereka didakwa memperdaya Bahari Tahir, 78, dengan mendakwa mampu mendapatkan empat kontrak MINDEF membabitkan kerja mengecat kenderaan perisai, pembekalan peralatan bagi Dewan Dato Jamil serta khemah.
Bahari didakwa menyerahkan wang berjumlah RM780,000 kepada kedua-dua tertuduh antara 21 hingga 22 Ogos 2019 susulan tawaran berkenaan.
Di hadapan Hakim Azrul Darus pula, mereka didakwa menipu seorang lagi ahli perniagaan, Borhan Mohd Doya, 55, dengan memperdayakannya mengenai kewujudan kontrak bernilai RM565,050 bagi pembekalan peralatan dan kerja persiapan satu acara di Kem Perdana Sungai Besi.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada April 2019 sehingga mendorong Borhan menyerahkan RM300,000 kepada Rosle menerusi dua transaksi.
Selain tiga pertuduhan menipu, kedua-dua tertuduh turut berdepan tiga pertuduhan bersama memalsukan pesanan kerajaan bagi projek berkenaan dengan niat untuk menipu ahli perniagaan terbabit.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Kuartermaster, Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Bagi pertuduhan menipu, mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Pertuduhan pemalsuan dokumen pula dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman, Batrisyia Mohd Khusri dan Izzat Amir Idham memohon jaminan RM60,000 bagi setiap pertuduhan terhadap setiap tertuduh dengan mengambil kira jumlah kerugian serta risiko mereka melarikan diri.
Bagaimanapun, Rosle yang tidak diwakili peguam merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan atas alasan perlu menanggung isteri yang menghidap kanser serta enam anak, termasuk dua daripadanya menghidap autisme, menggunakan wang pencen bulanan.
Beliau turut memaklumkan tidak berkemampuan melantik peguam dan memohon tempoh lebih panjang untuk mengumpulkan wang jaminan.
Rosle juga berkata kedua-dua mereka memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dan tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.
Peguam Lee Soo Bang daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Mohd Syazwan turut memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya hanya memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan sebagai peniaga selain perlu menyara keluarga dan ibunya yang uzur.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM100,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Disember ini untuk sebutan semula kes.





