PAKATAN Harapan Negeri Sembilan (PHNS) menjunjung kasih kebijaksanaan dan ketegasan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam menangani kemelut politik serta pentadbiran negeri itu.
Dalam satu kenyataan, PHNS berkata, perkembangan terkini membuktikan betapa pentingnya semua pihak menghormati kedudukan dan kuasa Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
‘’ Setelah hampir empat bulan negeri dibelenggu pertikaian politik, keutamaan kini adalah memastikan segala titah Tuanku dipatuhi dan pentadbiran negeri kembali berfungsi dengan teratur,’’ kata PHNS
Pakatan itu menegaskan, mereka kekal dengan pendirian bahawa tindakan kepimpinan BN-PN sejak awal krisis merupakan satu bentuk penderhakaan terhadap institusi Yang Dipertuan Besar.
‘’Pendirian ini berasaskan tindakan kerajaan BN-PN yang secara kolektif menerima proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz, sebelum akhirnya menarik balik keputusan dan surat yang dikemukakan kepada Raja-Raja Melayu.
‘’Hakikat bahawa kerajaan BN-PN sendiri kemudian mengesahkan proklamasi tersebut tidak sah memperlihatkan betapa seriusnya percanggahan keputusan yang berlaku. Jangan sesekali perbuatan yang dianggap derhaka ini berulang, apatah lagi oleh mereka yang telah mengangkat sumpah untuk mempertahankan institusi negeri dan mematuhi undang-undang,’’ kata pakatan tersebut.

Lebih mengecewakan, kata PHBN kemelut yang bermula dengan tindakan 14 ADUN Barisan Nasional menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan akhirnya berlanjutan menjadi pertikaian sesama kepimpinan BN-PN sendiri.
‘’Selepas hampir empat bulan, perebutan kedudukan Menteri Besar, pertikaian sokongan ADUN dan kegagalan menyelesaikan pembentukan Exco menunjukkan bahawa perubahan kerajaan tidak dengan sendirinya menyelesaikan masalah yang dijadikan alasan untuk menamatkan pentadbiran terdahulu.
‘’Persoalan besar yang perlu dijawab ialah apakah penyelesaian sebenar yang telah diberikan kepada rakyat sepanjang tempoh tersebut?,’’ kata PHNS.
Menurut PHNS, mereka turut memandang serius kesan ketidaktentuan politik ini terhadap ekonomi dan pentadbiran Negeri Sembilan.
‘’Menurut penganalisis ekonomi, Negeri Sembilan yang selama tujuh tahun membina momentum pembangunan, memperkukuh kewangan dan menarik pelaburan kini berdepan risiko gangguan kesinambungan dasar, keyakinan pelabur serta pelaksanaan program rakyat.
‘’Ketidaktentuan pembentangan Belanjawan Negeri 2027 juga mesti diselesaikan segera bagi mengelakkan gangguan peruntukan dan risiko shutdown fungsi pentadbiran tertentu,’’ tegas mereka.
PHNS turut menegaskan, rakyat tidak sepatutnya menjadi mangsa kepada percaturan politik yang berpanjangan apatah lagi perbuatan derhaka kepada Tuanku Muhriz selaku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
‘’Pakatan Harapan Negeri Sembilan menegaskan bahawa perkembangan terkini hendaklah menjadi pengajaran kepada seluruh kepimpinan BN-PN. Hormati institusi Yang Dipertuan Besar, akur kepada titah Tuanku dan kembalikan tumpuan kepada amanah mentadbir negeri.
‘’Kerajaan mesti segera memastikan Belanjawan 2027 dapat dibentangkan, ekonomi terus berkembang dan segala inisiatif rakyat dilaksanakan. Sekiranya kemelut politik kembali berulang sehingga kerajaan tidak lagi mampu berfungsi dengan stabil, pilihan mengembalikan mandat kepada rakyat wajar dipertimbangkan melalui proses perlembagaan.
‘’Empat bulan ketidaktentuan sudah terlalu lama. Jangan ulangi tindakan yang mengundang krisis. Jangan biarkan rakyat terus menjadi mangsa,’’ kata PHNS.





