
UMNO melaungkan penyatuan, tetapi apabila tiba soal kerusi, kepentingan parti kembali menjadi keutamaan.
Gagasan Rumah Bangsa yang dilaungkan UMNO sepatutnya menjadi ruang penyatuan, bukan sekadar slogan untuk menarik sokongan ketika parti berdepan cabaran politik. Penyatuan bukan sekadar slogan.
Namun, kenyataan terbaru Ketua Bahagian UMNO Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz, yang mahu kerjasama UMNO-PAS diteruskan tanpa melibatkan Parti Wawasan Negara (Wawasan), menimbulkan persoalan besar tentang makna sebenar penyatuan yang ingin dibina.
Apakah Rumah Bangsa benar-benar terbuka kepada semua, atau hanya kepada mereka yang bersedia mengikut kehendak UMNO? Jangan berselindung di sebalik slogan. Aneh, katanya rumah bangsa, tetapi pilih tetamu.
Nazri dalam temubual disiarkan Malaysiakini itu mahu UMNO mengambil semula kerusi yang pernah dimenangi Bersatu pada PRU15, termasuk kerusi yang kini diwakili wakil rakyat yang menyertai Wawasan.
Hujahnya, kerusi itu bukan milik Wawasan kerana parti berkenaan tidak bertanding pada PRU15. Namun, sejarah kemenangan tidak semestinya menjadi lesen untuk menuntut semula kerusi tanpa mengambilkira realiti politik semasa. Sejarah bukan lesen merampas hak.
Wakil rakyat yang berpindah parti tetap mempunyai penyokong, jentera dan kedudukan politik tersendiri. Menganggap mereka tidak mempunyai hak untuk bertanding hanya kerana parti baharu mereka tidak wujud ketika PRU15 merupakan pendekatan yang terlalu mudah.
Lebih menarik, Nazri yang mesra dipanggil Chief dalam kalangan rakan-rakannya, mahu UMNO dan Pas berunding mengenai pembahagian kerusi, tetapi pada masa sama meminta Pas tidak melayan Wawasan. Di sinilah persoalan sebenar timbul.
Jika UMNO benar-benar mahu membina kerjasama politik yang kukuh dengan PAS, mengapa ruang rundingan perlu ditutup kepada parti yang kini menjadi sebahagian daripada gabungan politik Pas?
Adakah kerjasama itu berasaskan kekuatan bersama, atau sekadar mahu Pas membantu UMNO mendapatkan semula kerusi yang pernah terlepas? Pas perlu membaca isyarat ini.
UMNO mungkin melihat Wawasan sebagai parti serpihan yang tidak perlu diberi tempat. Namun, dalam politik pilihan raya, setiap kerusi mempunyai realiti tersendiri.
Wawasan bukan sekadar nama baharu. Parti itu kini mempunyai wakil rakyat dan kedudukan dalam landskap politik yang tidak boleh dihapuskan hanya melalui kenyataan seorang pemimpin bahagian UMNO.
Jika Pas menerima bulat-bulat pendekatan tersebut, parti itu berisiko menjadi rakan rundingan yang membantu UMNO memperkukuh dominasi, sedangkan rakan lain dalam gabungan diketepikan. Jangan sampai rakan menjadi korban. Jangan sampai Pas hanya menjadi tangga. Angka kerusi juga perlu menjadi peringatan.
UMNO dan Pas sahaja belum mempunyai kekuatan yang cukup untuk menjamin kemenangan dalam PRU16. Mereka masih memerlukan sokongan tambahan, termasuk daripada kerusi yang kini diwakili Bersatu dan Wawasan.
Tidak semua kerusi itu boleh dimenangi semula dengan mudah. Penyandang mempunyai kelebihan, manakala pertandingan tiga penjuru atau perpecahan undi boleh membuka ruang kepada pihak lawan. Maka, menolak Wawasan atas alasan ia parti serpihan bukan sahaja berisiko menjejaskan hubungan politik, malah boleh merugikan peluang kemenangan. Jangan menang sorak, kampung tergadai.
UMNO mahu kembali dominan dalam PRU16. Itu bukan rahsia dan bukan sesuatu yang salah dalam politik. Namun, keinginan untuk menjadi parti utama tidak seharusnya diselindungkan di sebalik slogan penyatuan bangsa. Kuasa jangan mengatasi prinsip.
Rumah Bangsa sepatutnya menjadi rumah bersama, bukan rumah yang pintunya hanya dibuka kepada parti yang bersetuju menyerahkan kerusi kepada UMNO. Rumah bersama, bukan milik sendiri. Jika UMNO mahu Pas berhati-hati dengan Wawasan, Pas juga perlu berhati-hati dengan UMNO. Dan, Pas juga perlu bijak membaca permainan.
Kerjasama politik tidak boleh dibina atas dasar satu pihak menentukan siapa yang layak berada di meja rundingan, sementara pihak lain diminta menerima keputusan.
PRU16 bukan sekadar medan untuk UMNO mengambil semula kerusi lama. Ia juga ujian sama ada gagasan penyatuan yang dilaungkan benar-benar ikhlas, atau sekadar strategi untuk mengembalikan dominasi politik UMNO. Rumah Bangsa jangan jadi Rumah Kuasa kelompok sendiri.
Kerana akhirnya, rakyat akan menilai bukan melalui nama rumah yang dibina, tetapi siapa yang dibenarkan masuk dan siapa yang sengaja ditinggalkan di luar.





