Kementerian Komunikasi pastikan kebajikan penggiat seni  agenda nasional bukan lagi isu pinggiran.

LANGKAH Kementerian Komunikasi dalam memperjuangkan kebajikan penggiat seni melalui inisiatif FINAS-PERKESO dianggap antara paling bermakna dalam tempoh empat tahun Kerajaan MADANI.

Ia memandangkan buat pertama kalinya sebuah kementerian tidak hanya bercakap soal kandungan dan kutipan box office, tetapi benar-benar turun melihat kehidupan sebenar orang yang membina industri itu di sebalik tabir.

Kejayaan paling jelas ialah tindakan mengubah paradigma bantuan kebajikan. Sebelum ini, nasib artis veteran hanya mendapat perhatian apabila mereka sakit, viral di media sosial atau meninggal dunia dalam keadaan daif, dan selepas itu bantuan pun datang secara bermusim.

Bagaimanapun kementerian tersebut mengubah pendekatan itu sepenuhnya kepada sistem perlindungan yang berstruktur, berterusan dan bermaruah, melalui kerjasama strategik FINAS, PERKESO dan KWSP.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil sendiri telah mengarahkan FINAS untuk mengadakan perbincangan mendalam dengan PERKESO seawal tahun 2023 lagi bagi memastikan pekerja sektor filem, termasuk pekerja bebas, menerima perlindungan PERKESO termasuk manfaat pencen.

 Arahan itu bukan sekadar kenyataan politik, tetapi diterjemahkan kepada tindakan apabila FINAS menandatangani MoU dengan PERKESO pada April 2024 dan menaja 4,500 penggiat seni di bawah SKSPS, ditambah 200 artis veteran yang diluluskan untuk manfaat sama, menjadikan jumlah keseluruhan 4,700 penggiat seni yang dilindungi.

Ini adalah bukti bahawa Kementerian Komunikasi bukan sekadar menjadi jurucakap kerajaan, tetapi menjadi pembela kepada golongan yang selama ini tidak mempunyai suara.

Penggiat seni tidak mempunyai kesatuan yang kuat, tidak mempunyai majikan tetap dan tidak mempunyai kuasa rundingan seperti sektor lain. Namun kementerian ini telah menggunakan kuasanya untuk memaksa sistem yang selama ini mengabaikan mereka, kini terpaksa mengiktiraf mereka sebagai pekerja yang sah dan layak dilindungi.

Langkah paling menarik ialah menggabungkan SKSPS dan i-Saraan dalam satu pakej. SKSPS melindungi penggiat seni jika ditimpa kemalangan, hilang upaya atau kematian ketika bekerja, manakala i-Saraan pula membina simpanan hari tua untuk mereka.

 Ini adalah penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang dalam satu masa, dan ia menunjukkan kementerian itu bukan sekadar mahu menyelesaikan isu viral hari ini, tetapi mahu memastikan penggiat seni tidak menjadi miskin di hari tua.

Hasilnya sangat jelas dalam angka. Jumlah artis berdaftar dengan PERKESO melonjak daripada hanya 690 orang pada 2020 kepada 9,000 orang pada 2024. Caruman i-Saraan dalam industri seni pula melebihi RM23 juta membabitkan 3,900 pekerja, dengan simpanan terkumpul RM231 juta. Ini bukan angka kecil. Ini adalah bukti bahawa apabila kerajaan menyediakan jalan, penggiat seni sendiri bersedia untuk mencarum dan menjaga masa depan mereka.

Kementerian Komunikasi juga wajar dipuji kerana tidak mengambil pendekatan populis memberi bantuan tunai semata-mata. Di bawah pimpinan Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac yang dilantik di bawah kementerian ini, FINAS memperkenalkan falsafah beri pancing, bukan ikan, melalui Dana Supertelefilem Bintang Veteran (STAR) yang menetapkan 60 peratus tenaga kerja dalam penerbitan terdiri daripada artis dan kru veteran berumur 55 tahun ke atas. Ini adalah dasar yang memulihkan maruah veteran, kerana mereka tidak mahu dikasihani, mereka mahu bekerja.

Malah, kementerian ini juga memastikan penggiat seni veteran yang ditimpa musibah tidak dibiarkan sendirian. Melalui program Ziarah Seni MADANI, seramai 233 penggiat seni telah menerima manfaat berjumlah RM180,756, manakala Tabung Kebajikan Penggiat Seni pula menerima 42 permohonan bantuan berjumlah RM173,000.

Ini menunjukkan kementerian ini menjaga penggiat seni dari dua arah, iaitu ketika mereka sihat melalui peluang pekerjaan, dan ketika mereka sakit melalui bantuan kebajikan.

Keberanian kementerian ini juga terserlah apabila ia mahu membawa pindaan Akta FINAS ke Parlimen untuk mewajibkan perlindungan insurans dan caruman melalui lesen penggambaran dan sijil.

 Ini adalah langkah yang mungkin tidak popular dalam kalangan sesetengah penerbit, tetapi ia adalah langkah yang betul. Tanpa kewajipan undang-undang, perlindungan kepada pekerja bebas akan kekal sebagai pilihan, dan penerbit yang tidak bertanggungjawab akan terus mengambil kesempatan ke atas kru dan artis.

Melalui Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan subsidi 70 peratus untuk caruman LINDUNG Kendiri bagi sektor yang belum mandatori, termasuk seni. Ini membuktikan bahawa kementerian ini bukan hanya bercakap, tetapi berjaya meyakinkan Kementerian Kewangan untuk memperuntukkan wang rakyat bagi melindungi penggiat seni.

Kesimpulannya, Fahmi dan  Kementerian Komunikasi telah berjaya menjadikan isu kebajikan penggiat seni sebagai sebahagian daripada agenda nasional Kerajaan MADANI, bukan lagi isu pinggiran.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here