KERAJAAN perlu mengutamakan usaha membanteras rasuah, menutup ketirisan kewangan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyalahgunakan wang negara sebelum mempertimbangkan cadangan mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, peningkatan hasil negara melalui sistem percukaian baharu tidak seharusnya menjadi keutamaan sekiranya kelemahan dalam pengurusan kewangan dan tatakelola masih belum ditangani sepenuhnya.

Beliau berkata, cadangan menghidupkan semula GST yang dibangkitkan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu mengambil kira kesannya terhadap kemampuan kewangan rakyat.
Menurutnya, walaupun GST mempunyai mekanisme kutipan yang mampu memperluas sumber pendapatan kerajaan, aspek ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam mengurus hasil cukai perlu diberikan perhatian utama.
“Persoalannya bukan sekadar berapa banyak hasil tambahan yang boleh dikutip, tetapi sejauh mana kerajaan mampu memastikan wang itu diurus dengan penuh amanah dan dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat.
“Negara berdepan masalah ketirisan, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kelemahan tadbir urus. Semua perkara ini perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata, kerajaan sepatutnya memperkukuh sistem pengawasan kewangan, meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan memastikan individu yang terlibat dalam penyelewengan wang awam dibawa ke muka pengadilan.
Katanya, rakyat juga mahu melihat tindakan undang-undang dilaksanakan secara adil tanpa memberikan keistimewaan kepada mana-mana pihak, terutama mereka yang terbabit dalam kesalahan kewangan.
Beliau turut menegaskan bahawa keputusan berkaitan pengampunan, pengurangan hukuman atau pelaksanaan tahanan di rumah tidak seharusnya menghilangkan prinsip akauntabiliti terhadap kesalahan yang dilakukan.
“Sebarang keputusan mesti berpandukan undang-undang, Perlembagaan dan prinsip keadilan. Tuntutan supaya pihak yang melakukan jenayah kewangan bertanggungjawab terhadap perbuatannya tidak boleh diketepikan,” katanya.
UMNO, MCA perlu jelaskan pendirian GST
Mengulas cadangan mengembalikan GST, Mahfuz mengingatkan UMNO dan MCA bahawa sistem percukaian itu pernah diperkenalkan ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir negara pada 2015 sebelum dimansuhkan pada 2018.
Justeru, katanya, kedua-dua parti berkenaan perlu menjelaskan kepada rakyat rasional untuk mengembalikan sistem yang pernah dilaksanakan kerajaan terdahulu, selain menerangkan bagaimana kelemahan pelaksanaan sebelumnya akan ditangani.
Beliau berkata, penggunaan GST oleh 175 negara juga tidak boleh dijadikan ukuran mutlak kerana setiap negara mempunyai keadaan ekonomi, struktur pendapatan dan tahap kemampuan pengguna yang berbeza.
Katanya, dasar percukaian negara perlu mengambil kira realiti kehidupan rakyat Malaysia dan tidak semata-mata meniru pendekatan yang digunakan negara lain.
Bagi menggambarkan keperluan menyelesaikan masalah ketirisan sebelum menambah kutipan hasil, Mahfuz menggunakan perumpamaan sebuah reban ayam yang sering dimasuki pencuri.
Menurutnya, tindakan sewajarnya ialah memperbaiki keselamatan reban dan menangkap pihak yang mencuri, bukannya menambah bilangan ayam sehingga kerugian menjadi lebih besar.
“Kalau ayam selalu dicuri, pemilik perlu membaiki pagar dan menangkap pencuri. Bukan menambah lebih banyak ayam sedangkan masalah keselamatan masih tidak diselesaikan.
“Lebih malang jika pihak yang diberi tanggungjawab menjaga reban itu sendiri mempunyai kepentingan terhadap ayam di dalamnya,” katanya.
Mahfuz menegaskan rakyat tidak wajar terus menanggung cukai tambahan sekiranya kerajaan masih belum berjaya menyelesaikan masalah penyelewengan dan kebocoran wang awam.
“Jangan jadikan rakyat sebagai mesin ATM kerajaan, sedangkan masih ada pihak yang menjadikan wang negara seperti ATM peribadi mereka,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak keperluan kerajaan meningkatkan hasil negara, sebaliknya menegaskan usaha itu mesti disertai pembaharuan tatakelola, integriti dan kecekapan pengurusan kewangan.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap komitmen Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperhebat usaha memerangi rasuah dan menutup ruang ketirisan demi melindungi kepentingan rakyat.
“Ukuran kejayaan sesebuah kerajaan bukan hanya berdasarkan jumlah cukai yang berjaya dikutip, tetapi juga sejauh mana wang negara dapat diselamatkan daripada ketirisan dan dikembalikan manfaatnya kepada rakyat.
“Negara tidak akan menjadi lebih makmur hanya dengan meningkatkan kutipan cukai. Apa yang lebih penting ialah memastikan setiap wang awam diurus secara bertanggungjawab, rasuah diperangi dan undang-undang dikuatkuasakan tanpa pilih kasih.
“Jangan kembalikan Malaysia ke era kleptokrat,” katanya.





