KESTABILAN politik penting bagi memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar, sekali gus membolehkan dasar dan perancangan pembangunan dilaksanakan tanpa menjejaskan kepentingan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketidaktentuan politik bukan sahaja boleh mengganggu perjalanan pentadbiran, malah memberi kesan kepada rakyat yang akhirnya terpaksa menanggung akibatnya.
Mengambil contoh Pulau Pinang, beliau berkata, negeri itu menunjukkan prestasi baik khususnya dalam kelulusan projek pembangunan yang dapat dilaksanakan dengan pantas dan cekap hasil kestabilan politik serta kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
Menurutnya, keadaan itu turut membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menarik lebih banyak pelaburan ke negeri berkenaan.
“Ini sebabnya saya mengatakan, dalam negara, politik itu harus stabil. Negara harus stabil. Bila tidak stabil, kita tengok contoh kita dulu, sebelum 2022, empat tahun empat Perdana Menteri bertukar ganti yang terbeban adalah rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Yakin MADANI Peringkat Negeri Pulau Pinang di Kompleks Sukan Balik Pulau hari ini.
Sebagai perbandingan, Anwar berkata, situasi di Negeri Sembilan ketika ini berdepan ketidaktentuan susulan perubahan pentadbiran negeri, selain Dewan Undangan Negeri (DUN) yang masih belum bersidang untuk meluluskan belanjawan tahun depan.
Katanya, keadaan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penjawat awam berhubung kedudukan peruntukan bagi pembayaran gaji dan elaun mereka mulai Januari depan.
“Penjawat awam bimbang kerana kalau DUN tidak diadakan, belanjawan tidak diluluskan, gaji Januari takkan dapat dibayar kerana peruntukannya mampu hanya sehingga akhir tahun ini.
“Kerajaan Persekutuan tetap menjalankan tanggungjawab kalaupun tidak sempat ada kelulusan DUN, Kerajaan Persekutuan akan bayar semua gaji dan elaun penjawat awam mulai Januari tahun depan,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kemajuan Pulau Pinang dalam sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan pusat data perlu bergerak seiring dengan usaha memenuhi keperluan asas rakyat.
Beliau berkata, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah kesukaran golongan berpendapatan rendah memiliki rumah, meskipun negeri itu terus mencatat kemajuan dalam sektor ekonomi berteknologi tinggi.
Sehubungan itu, beliau memuji langkah kerajaan negeri meluluskan RM145 juta menerusi dana berkaitan bagi pembangunan perumahan untuk golongan berpendapatan rendah, termasuk masyarakat Islam.
Katanya, Kerajaan Persekutuan turut menambah peruntukan RM30 juta bagi mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan.
Anwar menegaskan, keberkesanan pelbagai inisiatif kerajaan perlu dinilai berdasarkan pelaksanaan serta manfaat yang benar-benar diterima rakyat, bukannya hanya melalui dakwaan atau ceramah politik.





