KERAJAAN akan terus memberi keutamaan kepada kebajikan warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), termasuk memperbaiki kemudahan perumahan, menyemak gaji serta menyediakan sokongan kepada keluarga anggota.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengorbanan anggota pertahanan negara yang sanggup berdepan pelbagai cabaran dan risiko demi keselamatan negara perlu disusuli perhatian sewajarnya terhadap kebajikan mereka.
Beliau berkata, sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan, antara perkara yang diberi perhatian ialah memastikan anggota tentera menikmati kemudahan lebih baik, khususnya membabitkan kediaman dan pendidikan anak-anak.
“Saya tekankan dua perkara. Pertama, kita mahu prestasi, keupayaan dan kecekapan angkatan tentera ditingkatkan.
“Tetapi dalam masa sama kita mesti jaga kebajikan mereka, perumahan, sekolah anak-anak dan gaji,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Wira MADANI bersama Warga TUDM di Pangkalan Udara Butterworth hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Panglima TUDM, Tan Sri Muhamad Norazlan Aris.
Anwar berkata, kerajaan turut mengambil langkah mempercepatkan kerja pembaikan rumah keluarga angkatan tentera yang sekian lama terabai bagi memastikan mereka dapat menikmati kediaman lebih selesa.
Katanya, usaha berkenaan dilaksanakan secara berperingkat dengan membabitkan peruntukan besar, selaras komitmen kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan anggota pertahanan negara.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan penyelarasan gaji penjawat awam selepas sekian lama tidak dikaji semula turut memberi manfaat kepada anggota tentera, terutama mereka yang berada dalam kumpulan berpangkat rendah.
“Pangkat tertinggi naik maksimum sekitar tujuh peratus, manakala pangkat terendah biasa 15, 20 hingga 25 peratus.
“Ini untuk mengurangkan kesenjangan (jurang ekonomi, sosial dan wilayah),” katanya.
Menurutnya, kerajaan memahami cabaran yang terpaksa dihadapi anggota tentera apabila perlu berjauhan daripada keluarga untuk tempoh panjang, selain menjalani latihan mencabar dan melaksanakan tugasan berisiko.
“Kadang-kadang anak-anak terpaksa ditinggalkan berbulan-bulan kerana ibu atau bapa menjalankan tugas.
“Sebab itu kebajikan keluarga mesti diberi perhatian,” katanya.
Pada program itu, Anwar turut meluluskan peruntukan RM100,000 bagi tujuan kebajikan warga TUDM Butterworth.
Beliau menegaskan kerajaan akan terus menghargai jasa dan pengorbanan anggota pertahanan negara dengan memastikan kebajikan serta keperluan mereka dan keluarga sentiasa diberi perhatian.





