POLIS menahan empat individu termasuk ibu bapa mentua kepada seorang pempengaruh bagi membantu siasatan kes pergaduhan di Taman Bertih Laut, Teluk Pulai di Klang, Selangor pada Ahad.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintenden Kamalariffin Aman Shah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.40 petang.
“Siasatan mendapati kejadian membabitkan perselisihan faham antara ahli keluarga isteri dengan pengadu.
“Pengadu merupakan lelaki tempatan berusia 33 tahun, susulan laporan diterima, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita berumur antara 22 hingga 59 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin, lapor Sinar Harian.
Kamalariffin berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 dan 427 Kanun Keseksaan.
“Pegawai penyiasat kini dalam proses melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-3376 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
UNDILAH |



