HASRAT menteri Israel paling Jahat, Itamar Ben-Gvir yang merupkana Menteri Keselamatan negara untuk melihat tahanan rakyat Palestin dihukum mati oleh rejim Zionis semakin hampir menjadi kenyataan apabila Jawatankuasa Keselamatan Knesset (Parlimen) Israel hari ini meluluskan satu rang undang-undang yang membenarkan pelaksanaan hukuman mati terhadap tahanan Palestin.
Media Israel melaporkan bahawa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah memberikan lampu hijau kepada rang undang-undang tersebut.
Jawatankuasa itu meluluskandan merujuknya ke dewan pleno Knesset untuk dibahaskan dan diundi pada peringkat perundangan yang akan datang. Undian dijangka diadakan pada hari Rabu depan.
Sebelum ini, satu jawatankuasa Knesset telah meluluskan rang undang-undang itu pada September, membuka jalan untuk bacaan pertamanya.
Undang-undang ini merupakan sebahagian daripada perjanjian pembentukan kerajaan gabungan yang diterajui oleh pemimpin parti Likud, Benjamin Netanyahu, dan pemimpin parti Jewish Power, Itamar Ben-Gvir, pada akhir tahun 2022.
Rang undang-undang untuk melaksanakan hukuman mati ini bukan perkara baharu; ia telah berulang kali dicadangkan sejak beberapa tahun lalu, kali terakhir pada tahun 2022 apabila Ben-Gvir memperkenalkannya semula dengan beberapa pindaan. Ia akhirnya diluluskan oleh Knesset dalam bacaan awal pada Mac 2023.
Rang undang-undang itu menetapkan “hukuman mati bagi sesiapa yang dengan sengaja atau cuai menyebabkan kematian warga Israel atas motif perkauman, kebencian, atau dengan tujuan untuk mencederakan Israel.”
Rang undang-undang dalam bacaan pertama ini akan membolehkannya terus dibahaskan di Knesset seterusnya, walaupun ia tidak diselesaikan dalam sesi semasa.
Proses perundangan di Israel melibatkan beberapa peringkat, bermula dengan penyediaan rang undang-undang oleh ahli Knesset atau jawatankuasa kerajaan, seperti yang dijelaskan di laman rasmi Knesset.
Dalam satu mesyuarat khas, Speaker Knesset akan meluluskan cadangan undang-undang yang dikemukakan kepadanya, dan ia kemudiannya dibentangkan ke dewan pleno Knesset pada hari yang sama untuk bacaan awal.
Rang undang-undang itu dibahaskan, dan keputusan dibuat sama ada untuk meluluskannya atau tidak. Jika diluluskan, ia dirujuk ke jawatankuasa parlimen untuk perbincangan lanjut bagi persediaan ke bacaan pertama.
Jika rang undang-undang itu dikemukakan oleh kerajaan, bukan oleh ahli Knesset seperti dalam kes hukuman mati ini, atau oleh jawatankuasa Knesset, maka ia tidak melalui bacaan awal dan terus ke bacaan pertama. Rang undang-undang yang dibentangkan untuk bacaan pertama akan diterbitkan dalam warta rasmi, dan undian diadakan sama ada untuk menolaknya atau membenarkannya terus ke perbahasan lanjut.
Jika cadangan itu diluluskan dalam bacaan pertama, ia akan dirujuk ke jawatankuasa khas Knesset untuk persiapan ke bacaan kedua dan ketiga. Setelah jawatankuasa menamatkan perbincangannya, rang undang-undang itu akan dibahaskan semula dalam dewan pleno, diikuti oleh bacaan kedua dan ketiga.
Selepas diluluskan dalam ketiga-tiga bacaan, undang-undang tersebut menjadi sebahagian daripada kod perundangan rasmi Israel dan diterbitkan dalam rekod rasmi negara, sekali gus berkuat kuasa sepenuhnya.
Dorongan untuk meluluskan undang-undang ekstrem ini berlaku dalam konteks perang pemusnahan yang sedang dilancarkan oleh pendudukan Israel terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sejak 7 Oktober tahun lalu.
UNDILAH |



