Trump-Netanyahu bagaikan ‘dua tanduk’  huru-harakan dunia

SETELAH  biadab menceroboh Venezuela dan menculik Presiden negara itu, Nicolas Maduro dan kemudiannya berpakat dengan penjenayah antarabangsa Benjamin Netanyahu menyerang Iran dan kini di ambang kekalahan, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump meneruskan ‘hobi gilanya’ untuk berperang apabila merancang menakluk Cuba pula.

Kelmarin Trump yang banyak berhalusinasi dalam peperangan dengan Iran mendakwa Cuba boleh “diambil alih dalam masa singkat”, sambil memberi bayangan kemungkinan penggunaan kekuatan tentera laut untuk menekan negara pulau itu.

Dalam satu acara di Florida, Trump berkata Cuba akan “diambil alih dengan sangat cepat”, dan mendakwa rakyat negara itu sedang berdepan pelbagai masalah.

Beliau turut mengaitkan langkah itu dengan konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Iran, dengan menyatakan Washington mungkin akan mengerahkan kapal perang dalam perjalanan pulang dari rantau tersebut.

“Dalam perjalanan pulang dari Iran, kami akan mengerahkan salah satu kapal besar kami, mungkin kapal induk USS Abraham Lincoln, yang terbesar di dunia, dan kami akan membawanya berhenti kira-kira 100 ela dari pesisir,” katanya.

Trump turut memberi gambaran bahawa kehadiran ketenteraan itu sahaja sudah cukup untuk memaksa Cuba menyerah. “Mereka akan berkata ‘terima kasih banyak. Kami menyerah,’” katanya, sambil menambah, “Saya suka menyelesaikan kerja.”

Pada hari yang sama, beliau juga menandatangani satu perintah eksekutif bagi mengenakan sekatan baharu terhadap individu dan entiti yang dikaitkan dengan Cuba, dengan alasan kebimbangan terhadap ancaman keselamatan negara serta dasar luar AS.

Trump sebelum ini berulang kali menyatakan bahawa Cuba adalah “sasaran seterusnya” selepas operasi ketenteraan terhadap Iran, dan meramalkan negara Caribbean itu akan gagal “dalam masa terdekat.”

 Kebiadaban Trump mengarahkan tentera AS menceroboh dan menyerang ketiga-tiga negara itu ada sebabnya. Faktor paling utama, beliau mahu menjadikan AS hebat kembali dengan merompak hasil negara lain.

Trump menceroboh Venezuela untuk mewujudkan kerajaan di bawah telunjuk mereka bagi membolehkan AS menguasai minyak mentah di negara itu. Venezuela merupakan antara negara yang mempunyai rizab minyak mentah terbesar di dunia.

Iran pula selain menjadi salah sebuah negara yang mempunyai rizab minyak mentah terbesar di dunia, AS juga mahu menguasai uranium di negara itu. Manakala agenda tersirat ialah memastikan tiada mana-mana negara Islam yang berani menentang AS dan sekutunya Israel.

Setakat ini tidak ada satupun kuasa dunia yang mampu menyekat kegilaan Trump dan kejahatan Netanyahu. Atas sebab itulah Trump boleh bertindak gila di mana sahaja kerana tahu tiada siapapun boleh menghalang beliau.

Tambahan pula anggota Senat dari parti Republika menjadi penyokong setia Trump dan pembela utama Netanyahu.

Keadaan itulah yang memungkinkan Trump bermaharajalela manakala Netanyahu menjadi ‘Hitler Zaman moden’ – menjajah negara Palestin dan membunuh penduduk negara itu tanpa dihalang oleh sesiapa.

Ketika Trump mahu menyerang Cuba, Netanyahu mengganas di Lubnan. Seperti di Gaza gencatan senjata hanyalah di atas kertas dan ia adalah muslihat   Israel untuk membolehkan mereka  menceroboh Lubnan secara terhormat.

Sesungguhnya kerakusan, kebiadan dan pelakuan jenayah Trump-Netanyahu  tiada tolok banding pada alaf baharu ini.

Mereka bagaikan ‘dua tanduk’ yang sentiasa berusaha memporak-perandakan dunia dan kehidupan manusia. Seribu satu undang-undang antarabangsa dilanggar oleh mereka, namun tiada kuasa yang mampu menghalang.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya memerhati, Majlis Keselamatan hanya menjadi gelanggang ‘kau veto aku, aku veto kau’ manakala Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) hanya menghabiskan air liur mengeluarkan waran terhadap Netanyahu.

Percayalah kegilaan Trum-Netanyahu tidak akan berakhir di Iran,Lubnan, Venezeula dan Palestin, selepas ini banyak lagi negara akan menjadi sasaran mereka. Ia kerana AS memiliki Presiden paling jahat dalam sejarah kewujudan negara itu di mukabumi ini.

Selagi Trump berkuasa, selagi Trump masih menguasai Rumah Putih, selagi itulah Netanyahu akan ‘terus bertanduk’ dan ‘bertengek di tengkuk’ Trump untuk menyerang negara-negara Islam yang tidak ada kekuatan ketenteraan seperti mana mereka lakukan di Palestin dan Iran.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img