KEDIAMAN milik bekas anggota kumpulan Cherrybelle, Anisa Rahma, dan suaminya Anandito Dwi Sepdiawan dilaporkan terbakar dalam satu kejadian awal pagi ini di Bandung, kelmarin.
Menurut Anisa, kebakaran berlaku sekitar jam 3 pagi ketika beliau sekeluarga sedang tidur sebelum mereka dikejutkan oleh pembantu rumah apabila sebahagian kediaman sudah dijilat api.
“Qadarullah (ketentuan Allah) rumah kami kebakaran. Kejadiannya jam 03.00 pagi, ketika kami sedang tidur dan dikejutkan oleh pembantu rumah mba ketika sebagian rumah sudah terbakar,” katanya menerusi perkongsian di Instagram.
Beliau berkata, pasukan bomba yang tiba di lokasi bersama bantuan pendudukberusaha memadamkan kebakaran, namun api yang marak menyebabkan sebahagian barangan tidak dapat diselamatkan.
Bagaimanapun, Anisa melahirkan rasa syukur kerana tiada korban jiwa dalam insiden itu.

“Alhamdulillah saya, anak-anak dan keluarga selamat,” katanya.
Beliau turut memohon doa agar diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian tersebut serta percaya terdapat hikmah di sebalik musibah berkenaan.
Sementara itu, menerusi perkongsian video oleh Dara Arafah di Instagram Story, Anisa menunjukkan terdapat satu ruang di dalam rumahnya yang tidak disentuh api.
Ruang berkenaan menyimpan kira-kira 3,500 naskhah Al-Quran yang sebelum ini diniatkan untuk dijual, dan kesemuanya dilaporkan kekal utuh walaupun kawasan bersebelahan hangus terbakar.
“Ini stok-stok al-Quran, kurang lebih ada 3,500 unit, masih utuh,” katanya dalam video tersebut.
Rakaman itu turut memperlihatkan perbezaan ketara antara ruang penyimpanan Al-Quran yang tidak terjejas dengan bahagian lain rumah yang musnah dijilat api.
Untuk rekod, Anisa Rahma merupakan seorang penyanyi dan pelakon Indonesia yang mula dikenali sebagai anggota Cherrybelle sebelum ini, selain aktif dalam bidang seni hiburan dan dakwah selepas meninggalkan kumpulan berkenaan.


