Kekejaman RSF di Sudan tiada beza dengan Zionis di Gaza…ini kisahnya

PEJUANG Pejuang Pasukan Sokongan Pantas (RSF) menanggalkan pakaian Madiha al-Tom Bashir ketika beliau melarikan diri dari El Fasher di Darfur Utara, memaksanya meninggalkan mayat anaknya yang tidak sempat dikebumikan selepas ditembak mati di hadapannya.

Kisah Bashir hanyalah satu daripada banyak testimoni yang mendedahkan kekejaman didakwa dilakukan oleh elemen RSF selepas mereka menawan El Fasher pada 26 Oktober. Mangsa yang terselamat dan saksi melaporkan pembunuhan besar-besaran, penyeksaan, dan rompakan yang berlaku di tengah-tengah gangguan komunikasi yang menyeluruh.

Menurut mereka, pasukan RSF mengejar orang awam yang melarikan diri di jalan raya, dan ramai ditahan di kawasan Gorni. Ribuan masih terperangkap di sana, termasuk kanak-kanak yang terpisah daripada keluarga.

Bashir, yang melarikan diri dari kawasan kejiranan Al-Sahafa dan Al-Daraja Al-Oula, memberitahu Sudan Tribune bahawa pengeboman bermula sekitar jam 2 pagi.

“Saya terpaksa berpindah… selepas peluru berpandu menghujani rumah,” katanya.

Beliau menceritakan perjalanan ke arah barat menuju Gorni, melalui sekatan jalan RSF yang “amat teliti dan memalukan. Mereka menanggalkan pakaian kami, merampas wang dan telefon kami… Kami hanya berjalan, melarikan diri… antara kami ada orang tua dan orang sakit,” katanya.

Kisahnya menjadi lebih tragis apabila katanya, “Di depan mata saya, seorang anggota RSF menembak mati anak saya dan menyuruh saya pergi… Saya tinggalkan mayat anak saya tanpa dapat mengkebumikannya. Suami saya pula ditangkap, dan kami tidak tahu apa nasibnya.”

“Di jalan antara El Fasher dan Tawila, mayat bergelimpangan di sepanjang laluan,” tambah Bashir. “Mana-mana lelaki yang melarikan diri dari El Fasher sama ada dibunuh atau ditangkap.”

Mangsa lain turut berkongsi pengalaman serupa. Fatima al-Tom Abdulrahman memberitahu Sudan Tribune bahawa sekatan di jalan menuju kem Abu Shouk adalah “lebih kejam daripada kematian.”

“Askarnya memaksa kami berdiri lama di bawah panas terik matahari sambil mereka memaki hamun dan menghamburkan kata-kata perkauman,” katanya, sambil menambah bahawa mereka digelar “hamba” dan pelbagai kata hinaan lain.

Beliau menyaksikan dua saudara lelakinya, berusia antara 30 hingga 45 tahun, ditembak mati oleh pejuang RSF yang menuduh mereka berpihak kepada tentera. Fatima pengsan akibat keletihan dan kemudiannya dipisahkan daripada golongan lelaki.

“Lelaki yang tinggal di situ telah dihukum mati di tempat kejadian,” katanya. “Mereka sengaja membuat kami mendengar jeritan mangsa ketika mereka ditembak sambil menjerit, ‘Falangai, anjing!’”

Daoud Mohammed Abkar, yang berada di sebuah tempat perlindungan di kejiranan Al-Daraja Al-Oula, menggambarkan serangan RSF pada 26 Oktober itu.

“Orang ramai berlari lintang-pukang, melarikan diri daripada peluru berpandu dan tembakan bertubi-tubi di tengah-tengah jeritan wanita, kanak-kanak, dan orang tua,” katanya kepada Sudan Tribune.

Beliau berkata, sekumpulan RSF berhampiran Universiti El Fasher menahan mereka, memukul, dan memisahkan lelaki mengikut umur.

“Saya melihat sendiri elemen RSF berbaris dan menembak mati tujuh orang pemuda yang bersama kami selepas menuduh mereka berperang dengan tentera,” katanya.

Kumpulan Abkar kemudiannya dibenarkan pergi, namun “dipukul dengan teruk menggunakan kayu dan cambuk” di pintu masuk Gorni. “Mereka memukul semua orang tanpa belas kasihan… Kami tinggalkan ramai yang mungkin mati akibat penyeksaan.”

Abkar turut mendedahkan eksploitasi meluas di jalan raya, di mana pemandu mengenakan caj 500,000 paun Sudan seorang. Mereka yang berjalan kaki pula berisiko ditangkap dan dirompak oleh militan puak yang bersekutu dengan RSF.

Menurut peguam hak asasi manusia Abdulbasit al-Hajj, keganasan kini berubah menjadi kegiatan pemerasan sistematik.

“Orang awam yang melarikan diri dari El Fasher kini menjadi mangsa penculikan terancang oleh RSF,” katanya kepada Sudan Tribune, “yang menahan ratusan orang dan memeras wang tebusan besar daripada keluarga mereka.”

Beliau berkata, kumpulan “militia” RSF menghubungi saudara-mara mangsa di luar negara, menuntut tebusan sehingga 100 juta paun Sudan (sekitar AS$170,000) bagi setiap orang.

“Jika keluarga enggan membayar, tahanan diseksa dan video dihantar kepada keluarga mereka bagi menambah tekanan,” katanya.

Tiga mangsa yang terselamat, termasuk seorang doktor, mengesahkan kepada Sudan Tribune bahawa mereka diculik, diseksa dan dipaksa merakam video tebusan. Salah seorang berkata keluarganya membayar 20 juta paun Sudan untuk pembebasannya. Seorang lagi mendakwa keluarganya membayar 18 juta paun Sudan, namun RSF memutuskan hubungan selepas menerima wang tersebut.

Keganasan ini mencetuskan kejatuhan kemanusiaan di Tawila, yang kini menampung sebahagian besar pelarian, kata jurucakap Penyelaras Umum bagi Orang Pelarian dan Pelarian Dalaman di Darfur, Adam Rajal.

“Situasi kemanusiaan di Tawila amat buruk dan menggerunkan,” katanya kepada Sudan Tribune.

Beliau menjelaskan kawasan itu kini menerima aliran pelarian baharu “setiap hari tanpa henti” dari El Fasher.

“Golongan pelarian menghadapi kekurangan makanan dan air bersih yang teruk,” katanya, sambil menambah ramai “terpaksa minum air tidak selamat.”

Rajal mengesahkan bahawa pelarian baharu melaporkan “pelanggaran hak asasi manusia yang serius, termasuk pembunuhan, keganasan seksual, rogol, rompakan, penghinaan dan ugutan.”

Katanya, sekitar 11,000 pelarian baharu tiba pada Oktober, menjadikan jumlah keseluruhan di kawasan itu melebihi sejuta orang. Ini termasuk “antara 450 hingga 500 kanak-kanak yang tiba tanpa keluarga mereka.”

Beliau menggesa gencatan senjata segera dan “dialog antara rakyat Sudan sendiri,” serta mendesak agensi antarabangsa “bertindak segera untuk menyelamatkan nyawa ratusan ribu orang.”


 

UNDILAH

Loading poll ...

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img