ILHAM Tower Sdn Bhd memperoleh kebenaran untuk memohon semakan kehakiman berhubung penyitaan bangunan pencakar langit ikoniknya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hakim Mahkamah Tinggi Amarjeet Singh menetapkan 1 Disember untuk mendengar permohonan syarikat itu bagi menangguhkan perintah penyitaan selepas mendengar hujahan daripada peguamnya, Gurdial Singh Nijar dan Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan.
Hakim juga memberikan penangguhan sementara sehingga 1 Disember bagi menghalang SPRM daripada melucut hak harta tersebut.
“Tiada gunanya menetapkan tarikh pendengaran jika esok anda akan melucut hak harta itu. Sebarang tindakan yang dibuat dari sekarang hingga pendengaran substantif akan menjejaskan keseluruhan permohonan,” katanya lapor FMT.
Pada pendengaran substantif itu, mahkamah dijangka mendengar hujahan mengenai permohonan syarikat berkenaan membatalkan notis penyitaan SPRM dan mengetepikan penyitaan ke atas harta tersebut yang dibuat pada 4 Jun.
Permohonan untuk mendapatkan kebenaran itu difailkan syarikat berkenaan pada 23 Jun.
Ia menamakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kerajaan, pegawai penyiasat SPRM Razi Rahhim, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Ketua SPRM Azam Baki, SPRM dan pendakwa raya sebagai responden.
Ilham Tower mula disita oleh pihak berkuasa pada Disember 2023.
Mengikut undang-undang, sesuatu harta yang disita boleh dipegang oleh pihak berkuasa sehingga 18 bulan sementara siasatan berjalan.
Dalam afidavit sokongannya, pengarah syarikat, Naimah Khalid, isteri kepada bekas menteri kewangan Allahyarham Daim Zainuddin, berkata tempoh 18 bulan, yang bermula apabila menara itu pertama kali disita pada 18 Disember 2023 telah tamat pada 17 Jun tahun ini.
Beliau mendakwa penyitaan kedua pada 4 Jun, yang dibuat kira-kira dua minggu sebelum tempoh pertama tamat, adalah cubaan SPRM untuk ‘menyeleweng undang-undang secara salah’.
Penyitaan pertama dijalankan di bawah Seksyen 38(1) Akta SPRM, manakala penyitaan kedua dibuat di bawah Seksyen 51 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
UNDILAH |



