Dua lelaki didenda RM5,000 menyamar anggota polis trafik

DUA lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan menyamar sebagai anggota polis trafik dalam kejadian yang berlaku di Bercham awal Sabtu lalu.

Tertuduh, Wong Jiun Wei, 24, dan Lim Boon Ping, 40, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan bersama, mereka didakwa telah menyamar sebagai anggota polis trafik dan memperdaya dua remaja berusia 15 dan 17 tahun dengan meminta wang untuk tidak mengeluarkan saman atau tidak dibawa ke balai polis.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di hadapan sebuah restoran di Jalan Lebuh Bercham Selatan 1, Taman Ipoh Timur Baru dalam daerah Kinta sekitar jam 12.38 pagi, 1 November 2025.

Sehubungan itu, mereka telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, S Nishaalini dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam, K Nathan.

Terdahulu, Nathan memohon mahkamah supaya hukuman denda yang mampu dibayar oleh anak guamnya memandangkan mereka tiada rekod jenayah lampau dan itu adalah kesalahan yang pertama.

Katanya, tertuduh pertama iaitu Jiun Wei bekerja sebagai juruelektrik manakala Boon Ping pula pembantu kedai makan dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,500.

“Kedua-dua tertuduh juga telah memohon maaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama,” katanya, lapor Malaysia Gazette.

Bagaimanapun, Nishaalini memohon supaya mahkamah mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan tertuduh dengan menyamar sebagai anggota polis dan meminta wang daripada pengadu selain terdapat rakaman video yang memaparkan perbuatan tersebut.

“Saya memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman setimpal supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat,” ujarnya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap setiap tertuduh serta memerintahkan mereka dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Kedua-dua tertuduh membayar denda.


 

UNDILAH

Loading poll ...

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img