Bekas Naib Presiden AS Dick Cheney meninggal dunia pada usia 84 tahun

BEKAS Naib Presiden Amerika Syarikat, Dick Cheney, yang pernah menasihati presiden daripada era Richard Nixon hingga George W. Bush dan merupakan arkitek utama kepada “perang terhadap keganasan”, telah meninggal dunia pada usia 84 tahun, menurut kenyataan keluarganya pada Selasa.

“Isterinya yang dikasihi selama 61 tahun, Lynne, serta dua anak perempuannya, Liz dan Mary, bersama ahli keluarga lain berada di sisinya ketika beliau menghembuskan nafas terakhir,” kata keluarga Cheney dalam satu kenyataan.

Cheney telah lama menghidap penyakit jantung dan hilang pengaruh dalam kalangan ramai ahli Republikan pada era pemerintahan Donald Trump. Malah, beliau pernah mengundi calon Demokrat, Kamala Harris, dalam pilihan raya 2024, susulan perseteruan panjangnya dengan Presiden ke-47 Amerika itu.

Selama beberapa dekad, Cheney berada di puncak struktur kuasa Washington — pernah menjadi Ketua Staf Rumah Putih kepada Presiden Gerald Ford, Ahli Kongres Wyoming yang mempertahankan Ronald Reagan semasa skandal Iran-Contra, dan Setiausaha Pertahanan kepada George H. W. Bush yang mengetuai Amerika dalam Perang Teluk pertama menentang Saddam Hussein bersama Jeneral Colin Powell.

Namun, peranannya sebagai Naib Presiden kepada George W. Bush yang paling meninggalkan kesan, menjadikan beliau dikenali sebagai “naib presiden paling berkuasa dalam sejarah Amerika.”

Cheney terkenal kerana merancang tindak balas Amerika terhadap serangan pengganas Al-Qaeda pada 11 September 2001, ketika beliau berlindung di ruang bawah tanah Rumah Putih mengatur strategi keselamatan negara.


 

UNDILAH

Loading poll ...

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img