SEORANG bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di sebuah rumah yang masih dalam pembinaan berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan Pak Badol, Gunong di Bachok, Kelantan hari ini.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi itu oleh petugas Klinik Kesihatan Mahligai pada 8.45 pagi ini.
“Bayi lelaki ini ditemui tanpa berpakaian dan dibalut menggunakan sehelai kain berwarna hijau di dalam rumah yang masih dalam pembinaan oleh orang awam yang berada di lokasi berkenaan.
“Pemeriksaan awal yang dilakukan doktor mendapati bayi lelaki berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, namun terdapat kesan kemerahan pada bahagian muka disyaki baru dilahirkan,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama hari ini.
Mohamad Ismail berkata, bayi itu dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk pemeriksaan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab
“Polis menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kes ini untuk segera menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Nurul Aida Jafar di talian 014-2714926 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
UNDILAH |



