Polis Johor rampas 115.09kg dadah bernilai RM11.40 juta

POLIS Johor berjaya merampas pelbagai jenis dadah seberat 115.09 kilogram (kg) bernilai RM11.4 juta selepas menyerbu sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan di Taman Bukit Indah dekat Iskandar Puteri, Johor Bahru pada Isnin lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, dalam operasi yang dijalankan selama dua hari oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri itu, pihaknya turut menahan penjaga stor lelaki tempatan berusia 55 tahun.

Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah dengan menyewa rumah teres yang berpagar dan menyediakan khidmat kawalan keselamatan bagi mengaburi kegiatan terlarang itu.

“Hasil siasatan, stor tersebut juga dipercayai digunakan untuk memproses dadah serbuk kepada cecair,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor Bahru hari ini, lapor Bernama.

Menurut Ab Rahaman, dadah yang dirampas terdiri daripada 25.24kg pil ekstasi, 23.10kg syabu, 22.43kg serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA), 13.40kg ketamin, 11.51kg ekstasi, 19.41kg pil erimin 5 dan pelbagai peralatan memproses.

“Sebuah kereta Toyota Vios dan wang tunai RM10,000 turut disita dalam serbuan itu,” katanya.

Ab Rahaman berkata pihaknya sedang giat mengesan dalang dan ahli sindiket berkenaan, yang dipercayai telah aktif mengedar sejak Julai lepas.

“Kita percaya sindiket ini ada rangkaian untuk mengambil bekalan dadah di dalam negara, sebelum diedar untuk pasaran tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata penjaga stor yang mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau berkait dadah dan trafik itu, direman selama tujuh hari bermula semalam.

Kes rampasan ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

 


 

UNDILAH

Loading poll ...

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img