‘Semua kos CAS saya tanggung’ – TMJ

TUNKU Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan baginda akan  menanggung sepenuhnya semua kos berkaitan kes membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan yang akan dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Perkara itu dimaklumkan sendiri Tunku Mahkota Johor itu sebagai tanda sokongan terhadap usaha mendapatkan keadilan buat pemain yang digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Saya tanggung semua, bukan duit rakyat,” titah baginda ringkas ketika menjawab pertanyaan berhubung pembiayaan kes berkenaan, lapor Harian Metro.

Kenyataan itu sekali lagi menunjukkan keprihatinan Tunku Ismail terhadap nasib pemain terbabit yang sebelum ini dikenakan hukuman oleh FIFA berhubung isu status kelayakan bermain untuk skuad kebangsaan.

FAM sebelum ini mengesahkan akan membawa kes itu ke CAS selepas rayuan terhadap keputusan FIFA ditolak baru-baru ini, sekali gus membuka peluang terakhir bagi mendapatkan pembelaan.

Langkah Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) menanggung segala kos guaman dan perjalanan dijangka meringankan beban kewangan FAM selain memberi keyakinan baharu kepada pasukan perundangan Malaysia dalam memperjuangkan hak pemain.

Dalam pada itu, baginda turut menegaskan tidak gentar sekiranya tindakan atau kenyataannya terhadap FIFA kemungkinan mengundang sebarang implikasi daripada badan induk bola sepak dunia itu.

“Tidak (bimbang dikenakan tindakan FIFA). Silakan,” tegas Tunku Ismail, mengulas mengenai kemungkinan berdepan tindakan susulan selepas mengkritik FIFA secara terbuka baru-baru ini.

Harapan FAM mengubah keputusan penggantungan dikeluarkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA musnah apabila gagal dalam proses rayuan.

Menerusi satu keputusan dikeluarkan Jawatankuasa Rayuan FIFA, badan induk dunia itu mengekalkan keputusan awal menggantung tujuh pemain negara dan denda ke atas FAM.

Dalam keputusan yang diumumkan malam ini, FIFA mengekalkan hukuman denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM selain penggantungan 12 bulan serta denda CHF2,000 (sekitar RM10,800) setiap seorang ke atas tujuh pemain terbabit atas kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain yang terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garcas, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

 


 

UNDILAH

Loading poll ...

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img