
Oleh : Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali
Saban tahun kelibat ‘Abang Sado’ seolah-olah menjadi penyeri wajib sambutan Hari Kebangsaan. Mungkin ini adalah antara petanda lambang kegagahan agensi berkaitan, berarak bersama kelengkapan agensi yang canggih. Tidak kurang yang merasakan ‘janggal’, apa mesej yang ingin disampaikan? Sesuaikah penampilan sedemikian? Tepuk dada tanya selera.
Bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-68 hari ini, mungkin wajar juga kita berfikir sejenak, bertanya-sadokah poket rakyat? Selesakah kehidupan rakyat? Sejahterakah mereka?
Kita lihat Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) suku pertama 2025. Sekitar 6.79 juta warga negara Malaysia bekerja dalam sektor formal. Upah bulanan penengah untuk kumpulan ini ialah RM3,000.
Lihat paparan taburan upah di bawah. Jelas sekali taburan upah secara keseluruhan bukan sahaja rendah malah cenderung mengherot ke bawah. Taburan upah tertinggi ialah dalam julat RM1,500-RM1,999 sebulan, iaitu 22.5% daripada pekerja dalam sektor ini.


Taburan upah sektor formal membawa makna dan signal yang sangat signifikan untuk ekonomi negara. Ia melambangkan struktur ekonomi negara, jenis aktiviti ekonomi yang dijalankan, nilai tenaga kerja, kecenderungan majikan menggajikan pekerja mahir, tahap kemahiran pekerja serta sejauh mana pertumbuhan dan pembangunan ekonomi memanfaatkan kesejahteraan kehidupan rakyat.
Kerajaan baharu sahaja membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) pada penghujung bulan Julai lalu. Tema besar RMK13 ‘Melakar Semula Pembangunan’.
Antaranya, impian besar Malaysia ingin melonjak menjadi jaguh ekonomi Asia. Negara berpendapatan tinggi.
Negara AI. Consumption Powerhouse. Meningkatkan kerencaman ekonomi dengan meningkatkan aktiviti ekonomi High Growth-High Value (HGHV), dan pelbagai matlamat pembangunan yang lain.
Semua impian ini kita sanjung. Sangat baik untuk negara dan rakyat. Namun, dengan taburan upah yang sebegini, bolehkah kita merealisasikannya? Maaf, saya mesti berlaku ikhlas. ‘Sekiranya’ taburan upah yang mengherot dan cenderung rendah ini kekal sebegini, jawapannya, TIDAK. Besar cabaran kita.
Bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-68 ini, dengan tema Malaysia Madani,Rakyat Disantuni, marilah kita semua bersama memerdekakan ekonomi rakyat dengan usaha bersungguh-sungguh meningkatkan kadar upah rakyat. Menyantuni rakyat dengan pendapatan lebih baik, kehidupan lebih selesa dan sejahtera.
Sadokan juga poket rakyat.
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-68.
MINDA UKM: Bersama Membangunkan Negara


